SHAH ALAM: Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2022 disasar mengekalkan momentum jualan melebihi RM3 bilion sepanjang tahun ini seperti dicatatkan pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, beliau melihat sasaran itu realistik untuk dicapai melihat kepada pembukaan semula semua ekonomi di negara ini.
“Pada tahun lepas melalui kempen sama, kami berjaya memperoleh nilai jualan produk sebanyak RM3.2 bilion.
“Terdapat banyak produk tempatan yang berkualiti, baik produk makanan, pakaian, peralatan elektrik dan lain-lain lagi,” katanya selepas pelancaran KBBM 2022 di Pasaraya Lotus’s, Seksyen 13, di sini, hari ini.
Beliau menambah, kempen terbabit yang berlangsung sejak 1984 akan terus dilaksanakan bagi mengalakkan rakyat Malaysia untuk terus membeli produk keluaran syarikat tempatan.
Jelas Rosol, galakkan pembelian barangan tempatan sekaligus dapat memacu pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Di kesempatan ini, saya harap rakyat Malaysia dapat menyokong usaha murni ini, demi manfaat kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Rosol berharap Kementerian Kewangan dapat menambah peruntukan kementeriannya, iaitu peruntukan bagi memperkasakan industri francise bagi Belanjawan 2023.
Menurut beliau, penambahan peruntukan untuk pemerkasaan industri itu penting kerana sektor francais mencipta banyak peluang pekerjaan baharu.
“Kalau tak dapat tambah pun, saya harap jangan potong peruntukan sektor francais yang kementerian dapat pada belanjawan lalu. Kementerian dapat RM4 juta untuk pemerkasaan industri francais pada Belanjawan 2022,” katanya. –UTUSAN










