KUALA LUMPUR : Pelakon, Hafidz Roshdi berharap bekas isterinya, Shuhada Shukri, dapat memberikan kerjasama baik dalam memastikan segala urusan berkaitan anak-anak mereka berjalan lancar.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Hafidz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz Roshdi menegaskan dia tidak mahu konflik peribadi antara mereka terus memberi kesan kepada dua cahaya mata mereka, Humairah dan Umar.
“Awak ada masalah dengan saya, jangan libatkan anak-anak. Anak-anak juga perlukan figura seorang bapa dan saya sudah mendapat hak daripada mahkamah,” katanya.
Menurut Hafidz, dia masih mempunyai tanggungjawab sebagai seorang bapa dan mahu menjalankan peranan itu sebaik mungkin demi kesejahteraan anak-anak.
Malah, dia berharap hubungan antara mereka dapat kembali reda dan segala perselisihan lama dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya minta maaf atas apa yang sudah berlaku, sama ada dari segi kewangan, emosi atau perkara lain yang mungkin saya terlepas pandang. Saya tidak mahu bermusuh dengan awak. Saya hanya mahukan hak untuk melawat dan berjumpa Humairah serta Umar.
“Saya sudah minta maaf dan sudah melaksanakan tanggungjawab saya. Sama ada awak mahu memaafkan atau tidak, itu terpulang,” ujarnya.
Dalam masa sama, Hafidz turut berharap agar bekas isterinya tidak lagi menghalang dirinya daripada berhubung dengan anak-anak, termasuk membenarkan mereka bertemu.
“Sekarang jangan libatkan Umar dan Humairah. Luka di hati awak hanya Allah yang boleh rawat. Saya cuma mahu berjumpa Umar dan Humairah serta menjalankan tanggungjawab sebagai abah mereka.
“Jangan sekat atau halang. Saya mahu menghubungi mereka, bertanya khabar dan mengetahui perkembangan mereka. Sila berikan nombor telefon terkini Humairah,” katanya lagi.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 di Perlis, namun sah bercerai pada 24 Februari 2023 selepas tujuh tahun hidup bersama.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah dan Umar.
Sementara itu, Hafidz juga telah mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama wanita pilihannya, Athira Yuhada, yang juga cinta pertamanya sejak berusia 15 tahun pada Disember 2023. Pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.










