Jangan terpedaya naratif pembangkang -Zahid - Utusan Malaysia

Jangan terpedaya naratif pembangkang -Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pucuk pimpinan parti agar tidak terpedaya dengan tipu helah pembangkang yang cuba memainkan mitos dan naratif lemah serta langkah berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menurut Presiden UMNO itu, naratif sama pernah dimainkan pembangkang ketika tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum dengan mereka menegaskan tidak sesuai sewaktu pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan pilihan raya ketika menjelang musim banjir, bukanlah bermakna pilihan raya diadakan pada musim banjir seluruh negara sebaliknya berlangsung pada sebelum itu lagi.

“Pembangkang tersalah langkah menggunakan mitos dan naratif banjir seolah-olah suatu yang tak dapat ditangani dan cuba menakutkan pengundi. Ini juga pembangkang pernah gunakan ketika pandemik Covid-19, tapi gagal.

“Akhirnya akibat pembangkang menggunakan isu bencana pandemik sebagai kempen menolak PRN Melaka, Johor dan Sarawak misalnya, pembangkang sendiri tersungkur dihukum oleh pengundi mereka sendiri. Pembangkang bakal berdepan ulangan kekalahan ini.

“Apabila pembangkang tidak ada kelebihan ini, usaha melengahkan pilihan raya umum terus dilakukan. Maka, janganlah kita terpedaya tipu daya pembangkang yang masih cuba bina mitos dan naratif yang lemah dan dangkal,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembangkang sedar bahawa mereka tidak mempunyai kelebihan walaupun Parlimen bubar, Perdana Menteri sementara ialah daripada UMNO dan BN yang bakal menjalankan fungsi  sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Katanya, Perdana Menteri sementara itulah melaksanakan tugasan rasmi rutin untuk memastikan kerajaan terus berfungsi di samping mesyuarat rasmi berhubung urusan kerajaan boleh diadakan termasuk mempengerusikan mesyuarat Pengurusan Bencana Negara.

“Daripada segi kuasa dan kawalan terhadap banjir pada musim tengkujuh, Perdana Menteri masih ada kuasa dan sukar pula pembangkang menonjol peranan mereka apabila musim tengkujuh.  Ini menyebabkan pembangkang berasa sangat terkesan.

“Pembangkang kurang mampu bersaing di padang sama rata dengan parti pemerintah sementara ketika pembubaran Parlimen. Kelebihan ini tidak ada pada pembangkang dan inilah paling dibimbangi oleh pembangkang. Perdana Menteri care taker masih mempunyai kuasa yang besar seperti lazim amalan dan konvensyen yang berlaku di negara komanwel,” katanya.

Justeru, kata Ahmad Zahid, PH dan musuh-musuh Barisan Nasional (BN) berusaha untuk melengah-lengahkan PRU15 sehingga tahun depan kerana pengaruh mereka dalam kalangan kaum Melayu semakin merosot dan percaya semakin dilengahkan pilihan raya, maka peratus kemerosotan mereka akan dapat dibaiki dan semakin naik populariti masing-masing.

Malah, katanya lagi, pembangkang dan musuh BN menyedari jika Parlimen dibubarkan, mereka dalam keadaan paling tidak bersedia untuk menghadapi rakyat dan tidak ada mekanisme dan jentera untuk membolehkan bergerak dengan berkesan seperti BN.

“Mantera bubar, bubar, bubar oleh PH suatu ketika dahulu kini, hilang dari radar, tidak seperti keyakinan dan semangat mereka pada pilihan raya umum 2018.

“Mereka dipeningkan lagi bahawa bekas sekutu mereka, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu jadi calon Perdana Menteri kali ketiga. Komponen PH seperti Amanah dilihat masih terhutang  budi terhadap Mahathir kerana walaupun hanya menang 11 kerusi, sembilan dilantik oleh dalam kabinet sebagai menteri dan timbalan menteri. DAP pula diberikan jawatan Menteri Kewangan oleh Mahathir.

“Itu sebab Amanah dan Dap agak lunak terhadap Mahathir dan kurang kenyataan keras dan tegas terhadap Mahathir. Berbanding PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim parti terbesar PH jawatan ditentukan oleh Dr Mahathir bukannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR ketika itu. Sebab itu Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamarudin diberikan jawatan besar oleh Dr Mahathir untuk melemahkan pengaruh keluarga Anwar dan sekutu Anwar dalam politik,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya