Ketua Bersatu Bahagian Mersing umum keluar parti, kembali sertai UMNO - Utusan Malaysia

Ketua Bersatu Bahagian Mersing umum keluar parti, kembali sertai UMNO

Alwiyah Talib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Mersing, Alwiyah Talib mengumumkan beliau telah meletakkan jawatan dan keluar daripada parti berkenaan serta merta.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau berkenaan turut mengumumkan akan kembali bersama UMNO setelah meninggalkan parti berkenaan, sebelum ini.

“Saya telah berkhidmat sebagai ADUN Endau sejak 2018. Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada Bersatu dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta dan kembali bersama UMNO.

“Disini, ingin juga saya tegaskan bahawa keputusan ini dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Alwiyah, pihaknya akan terus mengekalkan perkhidmatan di kawasan berkenaan demi memelihara kebajikan masyarakat di DUN tersebut.

“Tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih terhadap semua pihak khususnya pengundi di DUN Endau atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh saya berkhidmat,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018, Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket Barisan Nasional (UMNO) sebelum membuat keputusan menyertai Bersatu pada Mei tahun sama bersama beberapa ADUN UMNO lain.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi Endau bawah tiket Perikatan Nasional (PN) sebelum dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing pada 10 Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN