SINGAPURA: Cuaca kering sedang mengganggu aktiviti penanaman di seluruh Asia, mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan makanan di rantau paling ramai penduduk di dunia ketika fenomena cuaca El Nino dijangka menjadi lebih kuat dan berpotensi memburukkan lagi keadaan.
Dari lokasi pengeluaran bijirin di barat laut India hingga ke kawasan penanaman gandum di timur Australia, sawah padi Thailand dan ladang kelapa sawit Indonesia, cuaca panas serta hujan yang lebih rendah daripada biasa menjejaskan tanaman serta memaksa petani mengurangkan aktiviti penanaman.
Menurut laporan wartawan Reuters, keadaan kering yang didorong El Nino menjadi cabaran berganda buat petani yang sudah berdepan kekurangan baja dan diesel susulan perang Iran.
Harga gandum meningkat kira-kira 20 peratus sejak awal 2026, sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan mengenai kemarau di kawasan utama penanaman di Amerika Syarikat (AS).
Harga beras di hab eksport utama Asia Tenggara pula meningkat sekitar 15 peratus sepanjang bulan lalu berikutan kenaikan kos pengeluaran dan kebimbangan mengenai bekalan yang semakin ketat.
Salah satu fenomena El Nino paling kuat pernah direkodkan dijangka terbentuk pada separuh kedua 2026, membawa cuaca panas dan kering ke Asia serta hujan berlebihan ke benua Amerika, dengan perubahan iklim global dijangka memburukkan lagi kesannya.
“Kesan El Nino di peringkat global bermula di Asia Tenggara, India dan Australia sebelum memberi implikasi lebih meluas ke Amerika Utara dan Amerika Selatan,” kata Ahli Meteorologi berpangkalan di AS dari syarikat data satelit dan imejan SkyFi, Chris Hyde.
Menurut Hyde, tanda awal kemarau sudah dapat dilihat menerusi platform imej resolusi tinggi syarikat itu di beberapa kawasan di Asia.
Di India, jabatan meteorologi negara itu minggu lalu sekali lagi menurunkan unjuran musim monsun selama empat bulan yang menyumbang kira-kira 70 peratus hujan tahunan negara tersebut.
“Dengan suhu di kebanyakan kawasan negara kekal jauh lebih tinggi daripada biasa, keadaan ketika ini tidak sesuai untuk penanaman musim panas mengikut jadual,” kata seorang pedagang berpangkalan di New Delhi yang bekerja dengan sebuah syarikat perdagangan global.
Katanya, aktiviti penanaman berkemungkinan tertangguh susulan kelewatan ketibaan monsun, namun kebimbangan lebih besar ialah kemungkinan jumlah hujan di bawah paras normal dan tempoh cuaca kering berpanjangan selepas monsun bermula.
Di Asia Tenggara pula, keadaan kering mula menjejaskan hasil padi dan kelapa sawit di beberapa kawasan.
“Semua orang bimbang mengenai kemarau, ia berisiko. Bagi musim tuaian kedua , saya perlu melihat keadaan dahulu.
“Ia berisiko untuk semua orang. Jika air tidak mencukupi, mungkin hanya satu musim tuaian sahaja,” kata petani berusia 47 tahun dari wilayah Chainat di tengah Thailand, Nerawat Oramah.
Thailand dan Filipina memulakan musim utama penanaman padi antara Jun hingga Julai, manakala Vietnam dan Indonesia kini sedang memulakan penanaman musim kedua.
Pulau Jawa yang paling padat penduduk di Indonesia serta beberapa kawasan di utara Sumatera, selatan Kalimantan dan Sulawesi dilaporkan tidak menerima hujan selama lebih 10 hari, menurut agensi meteorologi negara itu, dengan hujan sederhana hingga rendah dijangka berterusan sepanjang Jun.










