PETALING JAYA: Sekatan terhadap akses sistem MyKhas membabitkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dibuat berdasarkan prinsip dan akauntabiliti.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, kerajaan berhak menguruskan dana awamnya melalui saluran alternatif yang teratur bagi memastikan ia tidak diguna untuk membiayai gerak kerja akar umbi parti lawan.
“Jika Lee Chean Chung dan Wong Chen mahu bertindak sebagai ahli Parlimen pembangkang secara de facto (dalam amalan), mereka bebas untuk berbuat demikian melalui pengumpulan dana sendiri, seperti yang dilakukan oleh ahli pembangkang sebelum ini.
“Namun, mereka tidak akan dibenarkan menggunakan jentera pentadbiran dan dana awam milik kerajaan yang sedang mereka cuba tumbangkan.
“Kebajikan dan kepentingan penduduk Subang serta Petaling Jaya akan terus diutamakan dan dilindungi di bawah pemantauan langsung kerajaan dan penyelaras yang dilantik. Ini hanyalah muslihat dan percaturan politik peribadi mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Chean Chung mendakwa tidak dapat mengakses sistem MyKhas sejak 29 Mei lalu, sekali gus menyebabkan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan Projek Mesra Rakyat (PMR) tidak dapat diteruskan.
Minggu lalu, Chen turut menuntut penjelasan rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas akses didakwa disekat tanpa sebarang notis.
Kedua-dua wakil rakyat itu ialah antara enam ahli Parlimen PKR yang hadir semasa majlis pengambilalihan Parti Bersama Malaysia (Bersama) oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.-UTUSAN










