fbpx

Inkues cari punca kematian ‘Baby Syifaa’ bermula

BAPA dan ibu Nour Rania Asyifaa, iaitu Yuseri Yusoff dan Anida Idrus hadir mengikuti prosiding hari pertama inkues mencari punca kematian anak mereka itu yang berlangsung di Mahkamah Koroner Seremban.

SEREMBAN: Prosiding hari pertama inkues mencari punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ bermula hari ini di Mahkamah Koroner di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly berkata, seramai 14 orang saksi hadir memberi keterangan termasuk dua orang anggota polis dan dua pegawai perubatan.

Saksi tersebut adalah penerima laporan polis maklumat pertama, Lans Koperal Siti Khairunnisa Muzlan, Lans Koperal Muhammad Faizul Abd. Rahman, Dr. Nur Aishah Abdul Latiff dan Dr. Muhammad Afiq Mohd Zain.

Di hadapan Koroner, Datin Surita Budin, Dr. Nur Aishah sebagai saksi ketiga memberitahu mahkamah bahawa Nour Rania dibawa masuk oleh seorang wanita di Klinik Kesihatan Sendayan pada 22 Februari.

“Ketika kejadian pada pukul 3.45 petang, saya lihat mangsa dibawa seorang wanita bertudung lebih kurang 20 meter dari kaunter pendaftaran, kemudian kakitangan membawa mangsa ke bilik rawatan untuk bantuan kecemasan,” katanya.

Beliau menambah, rawatan diberikan kepada bayi tersebut adalah sehingga pukul 4.15 petang namun mangsa tidak memberikan sebarang respons terhadap semua prosedur yang dilakukan.

Baby Syifa kemudian disahkan meninggal pada 4.30 petang oleh Dr. Muhammad Afiq yang merupakan pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban.

Ketika ditanya peguam pemerhati bagi pihak keluarga bayi itu, sama ada beliau mengetahui punca kematian kanak-kanak itu, Dr. Nur Aisha berkata beliau tidak mengetahui mengenainya.

Tetapi beliau diberitahu oleh pegawai perubatan lain bahawa kanak-kanak itu terjerut buaian.

Dalam prosiding hari ini, peguam, Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga Nour Rania Asyifaa manakala Norliana Ali Othman bagi pihak pengasuh dalam kes tersebut.

Inkues kemudian bersambung pada 10 dan 17 November depan.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu. 

Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN