GEORGE TOWN: Inisiatif Malaysia Digital (MD) berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion hanya dalam tempoh dua bulan ia dilancarkan iaitu pada Julai lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai itu dijana melalui pelaburan sebanyak 28 buah syarikat asing terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data; Penyedia Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT); Teknologi Kandungan Kreatif dan Global Business Services (GBS).
Menurut beliau, kejayaan itu amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara kerana akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan ekonomi digital.
Ismail Sabri menambah, negara turut merekodkan Pelaburan Digital Langsung Domestik sebanyak RM4.76 bilion setakat 24 Ogos lalu.
Menerusi usaha itu juga jelas beliau, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi diwujudkan dan peluang tersebut akan terus meningkat pada masa akan datang.
“Semua pencapaian positif ini telah meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025 selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“Dengan memiliki infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang berpengetahuan tinggi, hari ini, Malaysia mampu menjadi destinasi pelaburan digital utama di ASEAN,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Spice Arena, Bayan Baru dekat sini hari ini.
Kongres yang dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 buah negara itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berharap kerjasama rentas kementerian dengan agensi yang terjalin erat pada hari ini dapat dilipatgandakan dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, kejayaan negara menjadi tuan rumah WCIT 2020 tahun ini patut dibanggakan dan jelas menunjukkan Malaysia bersedia menerima kembali rakan-rakan dari seluruh dunia.
“Kerajaan berharap WCIT 2022 ini dapat melakar sejarah baharu dalam menarik lebih banyak pelaburan digital asing sebagai usaha memacu sektor teknologi dan inovasi.
“Kerajaan juga berharap platform ini digunakan sebaik-baiknya dalam membincang, mengilham serta mencetuskan idea baharu dalam perkembangan teknologi dan inovasi negara ke persada antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










