Nurul Amin curah 90 peratus khidmat untuk rakyat Padang Terap

Nurul Amin curah 90 peratus khidmat untuk rakyat Padang Terap

KAUNTER bergerak diperkenalkan sebagai pemudah cara kepada aduan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MASA saya 90 peratus untuk rakyat di Padang Terap , 10 peratus untuk keluarga. Alhamdulillah keluarga sangat memahami. Apabila sudah jadi wakil rakyat (YB) kita bukan sepenuhnya milik keluarga lagi tetapi rakyat.”

Itu komitmen Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid demi menzahirkan kerja buatnya kepada rakyat di kawasan tersebut sejak 2022.

Pada usia 43 tahun, beliau memikul mandat sebagai wakil rakyat itu dengan satu persoalan yang besar iaitu, bagaimana mahu berkhidmat di kawasan yang hampir keseluruhan penduduknya adalah golongan kurang berkemampuan termasuk pesawah dan pekebun kecil?

“Cabaran kita bagaimana untuk berkhidmat dengan baik untuk rakyat di Padang Terap yang banyak orang miskin, banyak pesawah, pekebun kecil dan apa yang boleh kita beri? Kekangan kita adalah peruntukan yang terhad,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Padang Terap di Kuala Nerang baru-baru ini.

Dalam situasi sumber yang terhad dan agihan menjadi isu utama beliau, bagaimanapun itu tidak pernah menjadikan ia satu alasan untuk memberi khidmat terbaik kepada penduduk.

 

NURUL AMIN HAMID
Umur: 43 tahun
Pendidikan
 Diploma Usuluddin & Dakwah, Kolej Universiti Insaniah (Kuin)
 Sarjana Muda Usuluddin & Dakwah Universiti Al Azhar, Mesir
Jawatan
 Ahli Parlimen Padang Terap
 Ketua Pengarah Khidmat Malaysia

Lalu beliau memilih pendekatan menjalinkan kerjasama dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat korporat yang dijadikan jambatan untuk menyampaikan bantuan,

Itu termasuk bantuan persekolahan, kecemasan ketika bencana malah ketika musim perayaan yang dihulur dengan ikhlas dan diharapkan dapat meringankan beban golongan rentan ini.

Bagi beliau dalam misi kemasyarakatan, ada kalanya yang ‘sekupang’ itu lebih besar nilai untuk mereka yang amat memerlukan.

Pada masa sama, fokus pembangunan di Padang Terap tetapi tidak dilupakan yang sering diutarakan di Parlimen yang bersidang tiga kali setahun.

Antara sinar harapan Padang Terap adalah projek Rubber City di Padang Sanai di bawah kerangka Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dijangka beroperasi pada tahun depan dengan pembukaan sebuah kilang getah.

Beliau tegas memperjuangkan agar sekurang-kurangnya 70 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada penduduk setempat pada fasa awal dan meningkat kepada 80 peratus pada fasa berikutnya.

Dalam pada itu, sektor getah turut diberi perhatian dan dalam hal ini beliau banyak terhutang budi dengan Kerajaan Pusat yang mendengar keluhan penduduk di kawasan itu.

 

“Nasib penoreh getah ini ibarat kais pagi makan pagi banyak yang gagal bertahan walaupun memiliki kebun getah sendiri lantas ada yang ingin beralih kepada tanaman kelapa sawit yang disifatkan lebih menguntungkan.

“Manakan tidak, satu tan boleh cecah sehingga RM200 sedangkan getah hanya RM3.40 sahaja sekilogram. Di Parlimen, kita mendesak kerajaan melihat isu ini dengan serius dan ia berhasil,” terangnya.

Tambah beliau, hasrat Kerajaan Pusat melalui agensinya iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan program Harga Getah Bermaruah memberi sinar kepada golongan tersebut.

“Melalui program ini agensi berkenaan akan membeli secara terus getah daripada pekebun kecil dengan harga yang lebih tinggi. Saya sokong pendekatan ini terima kasih kerajaan,” katanya.

Perjuangan lain katanya, adalah menyelesaikan isu saliran dalam kalangan pesawah di kawasan tersebut.

“Empat skim pengairan di sini tidak mencukupi untuk 2,600 pesawah. Padang Terap berada di luar kawasan Lem­baga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan isu saliran ini harus diperjuangkan,” jelasnya.

Untuk memudahkan khidmatnya, beliau turut mewujudkan kaunter bergerak di lapan lokasi bagi menerima aduan rakyat termasuk masalah atau pemohonan berkaitan.

“Kaunter bergerak ini kita akan tambah dari semasa ke semasa. Tujuan kita adalah untuk jadi pemudahcara,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×