NAMA Datuk Rashidi Zinol mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh ketika ini.
Anak jati Sungai Acheh yang berasal dari Kampung Sungai Setar Besar itu sememangnya membesar bersama denyut nadi kehidupan desa sekali gus menjadikan beliau cukup memahami denyut rasa, keperluan serta cabaran sebenar yang dihadapi rakyat setempat.
Pada usia 55 tahun, Rashidi membawa pengalaman yang panjang dalam bidang profesional dan politik hasil perjalanan hidup yang dibina melalui pendidikan, khidmat masyarakat serta penglibatan aktif di peringkat akar umbi.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Setar pada tahun 1981 sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (L) Al Mashoor, Pulau Pinang pada 1985.
Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang pada 1987, sebelum melangkah ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam pada 1991.
Latar belakang teknikal itu menjadi nilai tambah kepada beliau dalam memahami isu pembangunan, infrastruktur serta perancangan fizikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Menurut Rashidi, penglibatan beliau dalam politik bermula pada 1995 sebagai Ketua Pemuda Cawangan Sungai Setar serta Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal.
Katanya, komitmen berterusan dan kepemimpinan berprinsip menyaksikan beliau diberi kepercayaan sebagai Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal pada 2023.
“Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15), saya dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan seterusnya diangkat sebagai ADUN N21 iaitu Sungai A
cheh.
“Kemudian selepas PRN-15, saya menjadi satu-satunya wakil UMNO yang dilantik sebagai Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Sebagai wakil rakyat, Rashidi berkata, visi beliau adalah jelas iaitu untuk menjadikan Sungai Acheh sebuah komuniti luar bandar yang makmur, berdaya saing dan berdikari melalui pembangunan sosioekonomi yang inklusif.
“Fokus utama saya adalah pembangunan merangkumi sektor pelancongan lestari, keusahawanan rakyat, pertanian dan perikanan, industri desa serta industri hiliran yang mampu menjana pendapatan mampan.
“Dalam misi memacu ekopelancongan desa pula, saya menekankan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi pelaksana dan komuniti setempat agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkasakan ekonomi luar bandar turut dilaksanakan melalui kolaborasi tersusun bersama Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, sektor pertanian, perikanan serta ternakan unggas yang menjadi nadi ekonomi majoriti penduduk diberi perhatian melalui perancangan sistematik, sokongan teknikal dan pemantauan berterusan.
“Saya juga menitikberatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas dengan penyelarasan rapi bersama Giat Mara dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Dalam aspek sosial, pendekatan kepemimpinan berteraskan libat urus dan kebersamaan diterapkan bagi memupuk perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakyat,” ujar beliau.
Rashidi berkata, antara masalah utama yang dikenal pasti di DUN Sungai Acheh ketika ini adalah penurunan hasil padi akibat sistem pengairan kurang baik, tanah lembik, serangan perosak serta peningkatan kos input pertanian.
“Petani kecil turut terkesan dengan peratusan pemotongan faedah yang tinggi sehingga menjejaskan pendapatan bersih mereka. Isu perumahan juga menjadi perhatian apabila masih ramai penduduk, khususnya golongan muda, belum memiliki rumah sendiri dan terpaksa menyewa, selain rumah uzur yang tidak mampu dibaiki,” katanya.
Beliau berkata, dalam sektor perikanan pula, terdapat nelayan yang belum memiliki lesen sah serta kekurangan lokasi parkir bot yang tersusun dan selamat di kawasan kuala.
“Bagi menangani isu pertanian, saya memastikan komunikasi dua hala berterusan bersama IADA Pulau Pinang, LKIM, JPS dan agensi berkaitan, termasuk pemantauan di lapangan secara berkala sekali gus memastikan masalah seperti parit ladang tidak disenggara dan sistem pengairan rosak dikenal pasti untuk tindakan susulan secara berperingkat,” katanya.
Dalam aspek perumahan, katanya, hasil usaha berterusan menyaksikan kelulusan projek pembinaan 200 unit rumah mampu milik di Kampung Sungai Chenaam yang kini berada dalam proses tender oleh Kerajaan Negeri.
“Kelulusan pengambilalihan tanah bagi projek perumahan mampu milik di Sri Ampangan yang tertangguh sekian lama juga berjaya diselesaikan.
“Selain itu, bantuan baik pulih dan pembinaan rumah baharu untuk golongan kurang bernasib baik turut disalurkan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah, GiatMara serta KKDW,” kata beliau.
Jelas Rashidi, sesi libat urus berkala turut diadakan bagi menyelaras isu pelesenan, kebajikan serta keperluan infrastruktur sokongan nelayan.
“Saya juga menggalakkan penglibatan nelayan dalam industri hiliran perikanan melalui kursus pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran bagi mempelbagaikan sumber pendapatan.
“Antara pembaharuan utama yang dirancang ialah pembangunan Ekopelancongan Kuala Haji Ibrahim sebagai tarikan desa berasaskan alam semula jadi dan warisan setempat,” katanya yang bertekad memastikan pembangunan sosioekonomi Sungai Acheh seiring dengan limpahan ekonomi Batu Kawan tanpa mengorbankan landskap desa indah demi masa depan rakyat dan generasi akan datang. – Mingguan Malaysia










