Imigresen sasar kutipan RM4 bilion sebelum akhir tahun

Imigresen sasar kutipan RM4 bilion sebelum akhir tahun

KHAIRUL Dzaimee Daud menamatkan larian 15 km sempena Larian Imigresen 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia yakin dapat menyumbang lebih RM4 bilion kepada hasil negara menjelang akhir tahun ini menerusi pelbagai perkhidmatan yang dikendalikan agensi penguatkuasaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya sudah pun mencapai sasaran kutipan tahunan sebanyak RM3.5 bilion setakat 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, kutipan hasil untuk bulan-bulan berikutnya sehingga akhir tahun adalah bonus kepada pendapatan negara.

“Kebiasaannya, jumlah kutipan hasil setiap tahun sekitar RM3.5 hingga RM4.5 bilion setahun yang dicapai sebelum pandemik Covid-19. Namun  kutipan hasil bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 hanya sekitar RM2.5 bilion.

“Dengan prestasi kutipan hasil selepas pandemik yang disifatkan agak baik, saya harap Kementerian Kewangan akan mengumumkan bonus kepada jabatan ini dalam Bajet 2023 nanti,” katanya ketika ditemui selepas program Larian Imigresen 2022 di sini, hari ini.

YAKIN

Khairul berkata, pihaknya yakin kutipan hasil RM4 bilion dapat dicapai menerusi pelbagai cabang perkhidmatan yang ditawarkan selain Program Visa Premium (PVIP) yang bakal dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober depan.

Katanya, kutipan hasil Jabatan Imigresen banyak disumbangkan daripada levi pekerja asing membabitkan 1.35 juta pekerja asing di negara ini merangkumi pembaharuan pas lawatan pekerja, kemasukan pekerja asing baharu, pasport dan kompaun ke atas mereka yang melanggar peraturan.

Menurutnya, peranan jabatan itu sebenarnya jauh lebih banyak malah, skopnya lebih luas daripada itu kerana jabatan ini secara signifikan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya untuk kembali pulih selepas pandemik Covid-19.

“Kemasukan pelancong asing, pakar asing atau ekspatriat ke negara ini amat kita perlukan untuk pembangunan semula ekonomi negara,” katanya.

Terdahulu, seramai hampir 3,000 peserta menyertai Larian Imigresen 2022 terdiri daripada pegawai imigresen, orang awam dan warga asing yang terdiri daripada pelajar, pekerja asing dan ekspatriat.

Turut serta dalam larian itu termasuk Ketua Pengarah Imigresen sendiri yang berjaya menamatkan larian bagi kategori 15 kilometer.

Khairul berkata, pihaknya merancang menjadikan acara larian itu sebagai program tahunan sekali gus merapatkan hubungan agensi itu dengan orang awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN