fbpx

Ibu bapa perlu luang lebih masa membaca bersama anak-anak

MAH Hang Soon (depan lima dari kiri) bersama wakil sekolah yang menerima sumbangan buku di SJKC Choong Hua 2, Bidor hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan menyeru ibu bapa meluangkan lebih banyak masa membaca bersama anak-anak agar amalan berkenaan menjadi tabiat mereka sehingga dewasa.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, langkah berkenaan mampu memupuk minat membaca dalam ikalangan pelajar sekolah sejak kecil lagi bagi melahirkan generasi yang pintar dengan pengetahuan semasa.

Menurut Hang Soon, buat masa ini rakyat Malaysia meluangkan masa untuk membaca tidak lebih tiga jam seminggu berbanding rakyat India melebihi 10 jam dalam tempoh yang sama.

“Saya menyeru orang ramai agar meluangkan masa membaca bersama dengan anak mereka kerana amalan membaca ini kita kena tanam dan pupuk kerana lama kelamaan akan menjadi satu tabiat.

“Secara puratanya rakyat Malaysia  membaca tiga jam dalam satu minggu berbanding India 10 jam dan Thailand serta China lapan jam seminggu, jadi kita kena pertingkatkan lagi usaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Buku Kepada Sekolah-Sekolah Daerah Batang Padang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hua 2, Bidor di sini hari ini.

Hang Soon berkata, sumbangan bahan bacaan kepada sekolah-sekolah juga merupakan salah satu inisiatif kementeriannya bagi menggalakkan murid-murid untuk menjadikan amalan membaca sebagai tabiat.

Katanya,  program Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) yang diperkenalkan sejak dahulu lagi turut membantu menggalakkan pelajar sekolah membaca buku yang ada di perpustakaan.

Sementara itu, lebih 10,000 naskah buku diagihkan kepada 82 buah sekolah melibatkan 16 sekolah menengah dan 66 sekolah rendah dalam Daerah Batang Padang.

“Ini merupakan inisiatif saya dan kementerian bagi menggalakan lagi amalan membaca di kalangan pelajar sekolah dan saya berharap pihak sekolah memanfaatkan sumbangan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN