KUALA LUMPUR: Tahap kekerapan perkhidmatan Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) akan dipertingkatkan jika trend pergerakan penumpang menunjukkan peningkatan drastik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, maklum balas itu diberikan susulan rungutan dan keluhan pengguna yang menyifatkan masa menunggu tren tersebut ketika ini agak lambat iaitu sekitar lapan minit.
Katanya, kadar kekerapan operasi sedia ada iaitu 7.5 minit pada waktu puncak adalah munasabah untuk peringkat permulaan.
“Hal ini disesuaikan dengan kapasiti reka bentuk dan jumlah tren yang ada pada masa ini.
“Buat masa sekarang, kami akan memantau corak dan trend penggunaan dalam tempoh sebulan ini terlebih dahulu untuk melihat permintaan sebenar penumpang khususnya pada waktu puncak.
“Apabila pihak kementerian menerima kemasukan tren-tren tambahan kelak tahap kekerapan jadual perjalanan tersebut sudah pasti boleh dikaji dan disemak semula secara berperingkat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Pemandu Sihat dan Selamat di sini semalam.
Kemudahan LRT3 boleh diakses melalui 20 stesen di sepanjang 37.8 kilometer dari Johan Setia, Klang yang menghubungkan dengan Bandar Raya Shah Alam dan Bandar Utama, Petaling Jaya.
Sementara itu, kata Anthony Loke, pihak kementerian akan mengambil tindakan segera sekiranya data pemantauan menunjukkan jumlah penumpang melonjak tinggi demi keselesaan orang awam.-UTUSAN.










