Hasil laut kurang, terancam angkara bubu naga - Utusan Malaysia

Hasil laut kurang, terancam angkara bubu naga

SET bubu naga dirampas Jabatan Perikanan selepas dikesan dipasang kira-kira 0.15 batu nautika dari Pulau Perjudi, Port Dickson. - IHSAN JABATAN PERIKANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil laut di perairan negara khususnya di Johor, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis akan berkurang jika masih ada nelayan mengusahakan bubu naga secara senyap-senyap demi mengaut keuntungan.

Lebih memburukkan keadaan apabila penggunaan peralatan itu menyebabkan ‘eksploitasi’ berlebihan terhadap sumber perikanan khususnya benih ikan dan hidupan marin sehingga berlakunya konflik antara nelayan yang menggunakan peralatan artisanal termasuk pukat hanyut.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Mohd. Sufian Sulaiman berkata, hasil tangkapan menggunakan kaedah bubu naga ini mampu meraih pendapatan antara 20 sehingga 50 peratus lebih tinggi berbanding pukat hanyut.

Kata beliau, kadar tangkapan menggunakan kaedah itu boleh memperoleh 10 sehingga 50 kilogram hasil laut terdiri udang putih besar, udang saiz sederhana dan juga ikan campur dengan nilai purata RM 302.00 per trip.

“Kebiasaanya bubu naga ini boleh diusahakan lebih daripada 20 hari dalam tempoh sebulan dengan satu sehingga dua trip sehari.

“Bagaimanapun, penggunaan bubu naga ini boleh menyumbang kepada kematian anak-anak udang, ketam dan anak ikan seperti ikan pari, semilang, duri dan gelama kerana saiz mata bubu yang kecil.

“Jadi tidak mustahil hasil laut akan berkurang sekali gus menjadi salah satu penyumbang kenaikan harga ikan di negeri-negeri terlibat sekiranya ada permintaan yang tinggi,” katanya di sini semalam.

Jelas Mohd. Sufian, rentetan daripada konflik yang timbul penggunaan bubu naga untuk menangkap hasil laut telah diharamkan oleh kerajaan pada 2018.

Katanya, terdapat beberapa lagi kaedah yang dilarang untuk menangkap hasil laut iaitu menggunakan pukat tunda dua bot, pukat sorong (rawa sorong), renjatan elektrik, pukat hanyut, pukat insang dan lain-lain pukat menyerupainya dengan mata pukat melebihi 10 inci secara berhanyut atau bersauh.

“Selain itu, menangkap ikan dan hasil laut dengan menggunakan bahan letupan,racun atau pencemar juga sama sekali dilarang.

“Mana-mana individu didapati menggunakan peralatan bubu kamban akan disabitkan dibawah Akta Perikanan 1985 (AP85) mengikut Seksyen 11(3) iaitu menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa lesen dan juga menjadi kesalahan melanggar syarat lesen Seksyen 8(b) AP85 jika digunakan oleh nelayan yang mempunyai lesen bubu,” jelasnya.

Menurut beliau, sebanyak 2,386 kes penggunaan bubu naga direkodkan pihaknya dalam tempoh 2021 sehingga Jun lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM3.03 juta.

“Kita amat komited menjalankan operasi khas untuk memantau aktiviti bubu naga ini dengan pengawasan berkala selain menyita peralatan berkenaan sekiranya berada di perairan.

“Bantuan komuniti setempat untuk turut sama meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara sumber perikanan dan membantu pihak jabatan dengan memberikan maklumat tepat dalam membasmi kaedah penangkapan ikan yang dilarang,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ahmad Faridi Ferdaus memberitahu Utusan Malaysia, modus operandi digunakan nelayan adalah dengan melabuhkan bubu naga pada waktu petang ketika air mula pasang sebelum ditinggalkan semalaman.

Kata beliau, bubu naga hanya perlu diletakkan di laut dan setiap pagi ketika air surut, sindiket ini akan mengutip hasilnya.

“Lokasi lubuk pemasangan bubu naga ditanda dengan pancang kayu yang diikat dengan kain yang berwarna yang terapung di permukaan air yang mana alat itu dipasang dengan diikat secara berangkai dan diletakkan beberapa ketulan batu bata sebagai pemberat pada kayu tersebut.

“Kawasan mereka ini meletakkan bubu naga adalah di kawasan air cetek kurang dari lima batu nautika dari pantai namun terdapat juga yang mengoperasikan peralatan ini di kawasan yang lebih dalam sehingga 15 batu nautika dari pantai,” jelasnya.

Ahmad Faridi berkata, kebiasaanya nelayan terlibat dapat mengesan kehadiran kehadiran pihak Maritim Malaysia dan melarikan diri sebelum pihak kita tiba di lokasi mereka mengusahakan bubu naga.

“Secara keseluruhannya sebanyak 528 kes direkodkan Maritim Malaysia dengan nilai kerugian RM 511,910 sejak 2018 sehingga kini dan kebanyakkan kes bubu naga ini berlaku di perairan Selat Melaka bermula dari negeri di utara semenanjung iaitu di Perlis, Kedah Pulau Pinang hingga ke perairan Johor.

“Tiga negeri yang mencatatkan tertinggi bubu naga iaitu di Maritin Negeri (MN) Kedah dan Perlis dengan 161 kes diikuti MN Johor (136 kes) dan MN Perak (135 kes),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.