Konsert Tonton Soundstage bawa empat bekas finalis AJL - Utusan Malaysia

Konsert Tonton Soundstage bawa empat bekas finalis AJL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Konsert Tonton Soundstage yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur semalam dilihat berjaya menjadi pemanas pentas sebelum menuju ke Anugerah Juara Lagu ke-40 ( AJL40) dengan menghimpunkan empat bekas finalis iaitu Ernie Zakri, Khai Bahar, Haqiem Rusli, dan Siti Nordiana yang pernah bersaing dalam anugerah berprestij itu.

Konsert bermula dengan persembahan pembukaan daripada kumpulan koir menerusi rangkaian lagu Bayang, Paling Comel, Tergantung Sepi dan Masing-Masing dengan susunan muzik baharu.

Pentas kemudian diserahkan kepada Siti Nordiana yang tampil sebagai penyanyi solo pertama pada malam itu yang berdepan dengan masalah teknikal apabila mikrofon yang digunakannya mengalami masalah sehingga suaranya tidak kedengaran pada awal lagu Ngajat Tampi.

Bagaimanapun, sebagai penyanyi yang berpengalaman, Siti Nordiana tetap tenang mengawal keadaan sebelum meneruskan persembahan dengan baik menerusi lagu Terus Mencintai dan diteruskan dengan Memori Berkasih dan Gurauan Berkasih.

Dalam pada itu, Haqiem Rusli pula mengambil giliran menyampaikan seleksi lagu popularnya termasuk medley Segalanya, Selamat Tinggal Sayang dan Sangkar Derita, medley Aku Yang Tersakiti dan Bukan Dia Tapi Aku serta lagu Jatuh Bangun.

Haqiem kemudiannya membuat kejutan membawa isterinya, Sofea, naik ke pentas dan apa yang mengejutkan ramai adalah isterinya itu mengalirkan air mata sewaktu lagu Risk It All didendangkan secara akustik.

Sementara itu, Khai Bahar terus menghiburkan peminat yang hadir ketika menyampaikan lagu 1,2,3 dan Wanita secara medley, Luluh dan Bayang.

Sebelum menyanyikan lagu Luluh, Khai sempat berkongsi pengalamannya yang mana dia pernah diserang rasa panik yang melampau sebelum membuat persembahan di pentas AJL33 dahulu kerana terlalu gemuruh.

Pentas konsert seterusnya dihangatkan lagi dengan pemenang vokal terbaik AJL39, Ernie Zakri, yang menyampaikan lagu Aura, Masing-Masing serta Di Pintu Syurga.

Ernie sempat mencuri tumpuan ramai apabila berseloroh meminta sesiapa yang terperangkap dalam hubungan toksik agar segera keluar daripada hubungan tersebut sebelum dia menyanyikan lagu hitsnya, Masing-Masing.

Konsert yang dibawakan oleh McDonald’s Malaysia ini ditutup dengan persembahan bertenaga lagu Gemilang oleh kesemua artis yang terlibat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN