FMJ 2022 saji cita rasa antarabangsa

FMJ 2022 saji cita rasa antarabangsa

ADZRILL Armani (kiri) menunjukkan antara perisa kek lapis Sarawak yang dijual di gerainya sempena FMJ 2022 di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 yang berlangsung hingga 18 September ini turut menjadi tumpuan para peniaga memasarkan produk dan mengu­kuhkan jenama perniagaan me­reka, khususnya bagi pasaran di wilayah selatan tanah air.

Ini termasuk bagi peniaga bukan berasal dari Johor kerana festival selama 11 hari ini turut me­ngumpulkan ramai peniaga dari negeri lain, terma­suk negara asing.

Bagi peniaga Kek Lapis Sara­wak Mama Su, Adzrill Armani, 26, penganjuran FMJ 2022 merupakan peluang baik baginya untuk menembusi pasaran Johor, khususnya pasca pandemik Covid-19.

YAYAH Rosita (tengah) menunjukkan pelbagai makanan tradisional Indonesia yang dijual di gerainya sempena FMJ 2022 di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Dia yang berasal dari Kuching memberitahu, gerainya menju­al sebanyak 50 perisa kek lapis seperti masam manis vanila dan masam manis pandan serta Kek Lapis Mama Su yang menggabungkan tiga jenis coklat.

“Kami juga mengeluarkan beberapa perisa istimewa sebagai penghormatan kepada petugas ‘barisan hadapan’ sepanjang tempoh pandemik Covid-19 lalu, iaitu kek lapis KKM, PDRM, ATM dan bomba,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Adzrill berharap penglibatan dalam FMJ 2022 akan membuka peluang bagi pihaknya untuk menembusi pasaran Johor yang diketahui mempunyai bilangan komuniti dari Borneo yang ramai.

“Cawangan pertama kami di adalah di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Jadi, kami berharap selepas ini dapat buka cawangan baharu di selatan Semenanjung, khususnya di Johor Bahru,” katanya mengakui sambutan rakyat Johor amat menggalakkan.

“Alhamdulillah, sambutan sa­ngat baik, walaupun dalam kea­daan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai, namun orang masih ramai berkunjung dan menyokong perniagaan kami. Semoga lebih ramai orang Johor dan juga negeri sekitar turut datang memeriahkan festival ini,” kata­nya yang turut menjual produk lain seperti pes laksa Sarawak, mi kolok dan gula apong.

Sementara itu, seorang peniaga dari Indonesia, Yayah Rosita, 29, turut mengakui penganjuran FMJ 2022 adalah peluang bagi dirinya untuk menjadi duta kecil republik berkenaan dalam mempromosikan budaya Indonesia menerusi juadah.

Dia yang berasal dari Pulau Karimun memberitahu, pengunjung boleh menikmati beberapa makanan popular Indonesia tanpa perlu menyeberangi lautan, sebaliknya hanya berkunjung ke FMJ 2022.

“Indonesia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan warisan dan budaya, ini termasuklah menerusi pelbagai makanan istimewa yang sukar diperoleh di negara-negara lain.

“Dengan berkunjung ke gerai kami, orang ramai boleh merasai cita rasa Indonesia menerusi makanan seperti keropok ikan tenggiri, keropok udang, dendeng daun ubi, seblak dan banyak lagi,” katanya yang menyambut baik penganjuran festival berkenaan kerana dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

FMJ 2022 menyasarkan dapat menarik kehadiran antara 500,000 hingga 700,000 pengunjung domestik dan luar negara menerusi 32 acara utama termasuklah pertunjukan sukan tempur Muay Thai, persembahan kebudayaan, permainan tradisional dan konsert artis terkenal tanah air.

Festival berskala mega itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), UEM Sunrise dan Iskandar Puteri Tourism Action Council (IPTAC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya