TUMPAT: Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM13 bilion sehingga 31 Ogos lalu di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha itu dilihat semakin menghampiri sasaran pelaburan sebanyak RM14 bilion.
Menurutnya, pelaburan itu telah menjana 7,080 peluang pekerjaan dan hampir 300 peluang perniagaan.
“Saya menghargai usaha penuh ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di ECER, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.
“Usaha ini telah berjaya merancakkan lagi kegiatan ekonomi di ECER dan seterusnya menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut, di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, kerajaan percaya, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER.
Katanya, program pembangunan modal insan yang dilaksanakan di ECER yang mensasarkan golongan B40, penganggur dan masyarakat Orang Asli telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan.
“Hal ini menunjukkan keberkesanan program modal insan l ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Petronas dan MyKasih Foundation.
“Ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang inklusif,” ujarnya. – UTUSAN










