Dua maut kereta terbabas masuk longkang

Dua maut kereta terbabas masuk longkang

KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa terbabas sebelum terperosok ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu, Kulim, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Dua remaja maut sementara seorang lagi cedera parah selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga mangsa itu terbabas ke dalam longkang di Jalan Pondok Labu, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.51 pagi tadi, pemandu serta penumpang hadapan berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara rakan mereka berusia 20-an yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa dari arah pekan Kulim menghala ke Taman Selasih.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di satu selekoh di hadapan sebuah kedai makan. 

“Kereta itu kemudian terbabas masuk ke dalam longkang di bahu kanan jalan menyebabkan  mangsa tersepit di dalam kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pegawai perubatan yang memeriksa tiga mangsa terbabit kemudian mengesahkan dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Manakala, tambahnya, seorang lagi mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang  cedera parah di muka dan kepala dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

“Dua mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN