Keluasan hutan Malaysia dikekal minimum 50 peratus

Keluasan hutan Malaysia dikekal minimum 50 peratus

JOHARI Abdul Ghani (depan, dua dari kiri) ketika bergambar ketika selepas melawat reruai Majlis Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2025 di MITEC, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan terus memastikan kelestari­an hutan dikekalkan sekurang-ku­rangnya 50 peratus daripada keseluruhan tanah di bawah perlindungan hutan simpan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia komitmen ke­rajaan dalam memastikan kese­imbangan dapat dicapai antara pembangunan ekonomi dan pe­meliharaan alam sekitar menerusi pengurusan hutan secara mampan.

Katanya, setakai ini jumlah hutan berjaya dikekalkan kira-kira 54 peratus daripada keluasan tanah sekali gus membuktikan komitmen kerajaan terhadap pengurusan hutan secara lestari.

“Malaysia telah berjanji untuk menjaga hutan kita, dan sebab itulah kita mengekalkan lebih 50 peratus kawasan hutan.

“Buat masa ini, jumlahnya kekal pada 54 peratus,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2025 di sini semalam.

Menurut Johari, pencapai­an itu juga turut menunjukkan ke­sungguhan Malaysia dalam mengurus hutan secara bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan sektor perkayuan selaras dengan prinsip kelestarian.

Katanya, bagi mengekalkan daya saing di peringkat global, industri perkayuan negara perlu memberi tumpuan kepada kreativiti, mutu pertukangan yang tinggi serta amalan kelestarian.

“Dalam industri kayu, kita perlu kreatif, hasil kerja tangan mesti berkualiti dan paling pen­ting kita mesti mengamalkan kelestarian dalam produk yang dihasilkan. Jika ketiga-tiganya digabungkan, itulah formula kejayaan untuk menembusi pasaran eksport,” ujarnya.

Sementara itu, Johari turut menekankan kepentingan Program Ladang Hutan Perindustrian (ITP) dalam memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan dan boleh diperbaharui bagi industri perkayuan negara, selain mengurangkan tekanan terhadap hutan semula jadi.

“Program ITP amat penting kerana ia menyediakan sumber bahan mentah yang stabil serta menyokong pertumbuhan industri hiliran negara,” jelasnya.

Tambah beliau, sehingga Oktober 2025, sebanyak 5.85 juta hektar hutan di Malaysia telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf Program for the Endorsement of Forest Certification (PEFC).

Pencapaian itu meletakkan Malaysia antara 10 negara teratas dunia yang mempunyai keluasan hutan diperakui PEFC terbesar.

“Malaysia kini bersedia menjadi pintu masuk utama yang dipercayai ke pasaran kayu ASEAN dengan rangkaian perdagangan kukuh, sistem pensijilan yang diyakini serta reputasi teguh dalam aspek kelestarian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN