Kekuatan E&E Malaysia perkukuh rantaian bekalan ASEAN - Utusan Malaysia

Kekuatan E&E Malaysia perkukuh rantaian bekalan ASEAN

JOHARI Abdul Ghani dan Gan Kim Yong membincangkan cara untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan perniagaan ASEAN. — Foto Bernama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekuatan Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), termasuk semikonduktor dan segmen hiliran berpotensi dimanfaatkan bagi memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara ASEAN.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia merupakan antara negara terbesar di ASEAN dalam sektor E&E dengan nilai eksport kira-kira AS$711 bilion, sekali gus memberi ruang untuk industri berkenaan terus dimanfaatkan dalam rantaian bekalan serantau.

Namun, katanya, dalam E&E, terdapat semikonduktor, segmen hiliran E&E dan banyak lagi yang boleh dimanfaatkan daripada kesalinghubungan baik yang dimiliki Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia dan Singapura boleh bekerjasama meningkatkan kesalinghubungan perniagaan dalam ASEAN dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara dalam rantaian bekalan, ekonomi digital serta industri utama.

“ASEAN turut mempunyai ruang besar untuk dimanfaatkan bagi memperkukuh rantaian bekalan, terutama dalam aspek keselamatan makanan. Walaupun tidak semua industri terlibat, sebahagian besar tumpuan kita adalah untuk memanfaatkan ASEAN bagi rantaian bekalan kita, terutama dari segi keselamatan makanan.

“Selain itu, terdapat banyak bidang lain yang boleh kita manfaatkan daripada hubungan kukuh yang ditawarkan oleh Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Dialog Menteri Tahunan (AMD) Ketiga antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura (METI) yang diwakili Timbalan Perdana Menterinya, Gan Kim Yong, yang juga Menteri Perdagangan dan Industri negara itu.

Johari berkata, potensi berkenaan penting untuk diterokai memandangkan perdagangan intra-ASEAN masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Jelasnya, jumlah perdagangan 11 negara ASEAN kini mencecah AS$4.37 trilion, namun perdagangan sesama negara anggota hanya sekitar AS$800 bilion hingga AS$900 bilion.

“Masih banyak lagi yang boleh kita capai dan saya telah berbincang dengan Gan Kim Yong mengenai potensi untuk meningkatkan hubungan perniagaan antara semua negara ASEAN.

“Matlamat kita pada akhirnya adalah untuk memastikan 50 peratus daripada jumlah perdagangan AS$4.37 trilion itu dijalankan dalam kalangan negara ASEAN,” jelasnya.

Tambahnya, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) juga akan menjadi antara strategi penting bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN.

“Malaysia mencadangkan DEFA ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan pada masa ini adalah penting untuk beralih kepada pelaksanaan dan pengoperasian dengan Singapura menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada masa ini.

“Sudah tiba masa untuk Singapura mengambil inisiatif ini dan kita perlu membantu mereka bagi memastikan kita menggunakan DEFA sebagai antara strategi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN