PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Akmal Nasrullah Mohd. Nasir sebagai Menteri Ekonomi langkah penting bagi negara.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, berkata pelantikan Johari ke MITI sudah lama dinantikan kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam sektor korporat.
Katanya, Naib Presiden UMNO itu sememangnya layak untuk menerajui kementerian tersebut kerana beliau merupakan tokoh korporat dikenali dan mempunyai pengalaman luas.
“Johari berminat dalam aspek perdagangan negara, kementeriannya sebelum ini Kementerian Perladangan dan Komoditi yang sebenarnya bagi saya tidak tepat kerana tidak menonjolkan prestasinya yang cemerlang.
“MITI tepat dan sesuai untuk Johari dan beliau akan menunjukkan kebolehan yang mungkin lebih baik daripada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,” katanya.
Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 28 jawatan menteri dan timbalan menteri berlaku perubahan termasuk lantikan serta penukaran portfolio dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Barjoyai berkata, pelantikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, sesuai kerana menerima pendedahan dalam Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Katanya pelantikan itu baik, tetapi masih belum dapat dipastikan sama ada beliau dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik daripada Rafizi, justeru beliau perlu menunjukkan bakatnya. – UTUSAN










