KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerima lebih 600 permohonan menerusi program investED for Returning Women daripada wanita profesional yang berpengalaman dalam sektor minyak dan gas, perbankan, kewangan dan insurans.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, program yang mendapatkan sambutan menggalakkan sejak diumumkan pada Oktober lalu menerima pemohon terutamanya daripada wanita berusia 30an hingga 40an.
Katanya, program berkenaan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkasa peranan wanita dalam sektor ekonomi khususnya pasaran modal.
“Pelaksanaan program itu sejajar dengan komitmen SC untuk memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman tenaga kerja dalam pasaran modal negara.
“Setakat 1 Oktober 2025, wanita memegang lebih 34 peratus jawatan lembaga pengarah dalam kalangan 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia.
“Dengan pasaran modal yang semakin canggih serta berdepan kekurangan bakat, program ini memanfaatkan pengalaman profesional wanita bagi memperkukuh daya tahan pasaran,” katanya semasa majlis pelancaran program investED for Returning Women di sini, semalam.
Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Program investED for Returning Women dilaksanakan melalui dua fasa utama iaitu Refresh dan Reskill yang memberi tumpuan kepada pembangunan semula keyakinan diri, kemahiran profesional serta pengetahuan industri pasaran modal.
Peserta yang menamatkan latihan akan menerima insentif sebanyak RM2,000 serta sijil penyertaan sebagai pengiktirafan terhadap kesediaan mereka untuk kembali bekerja.
Inisiatif itu turut mendapat sokongan daripada rakan strategik seperti 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn. Bhd., Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn. Bhd. (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad.
Rakan strategik tersebut memainkan peranan penting dalam mereka bentuk modul latihan serta menyediakan peluang penempatan kerja kepada peserta. – UTUSAN










