TUMPAT: Penduduk Kampung Pak Keral di sini sekali lagi ‘mengamuk’ dengan bertindak menggantung kain rentang sebagai tanda protes selepas berdepan gangguan bekalan air yang semakin buruk.
Ini merupakan protes kali kedua yang dilakukan oleh penduduk selepas berdepan dengan masalah sama pada 16 Oktober lalu.
Sebanyak tujuh kain rentang tertera tulisan ‘AKSB (Air Kering Sapa Bila)’, ‘YAB MB rakyat susoh’, ‘YB Wan duk mana tu’, ‘YB Mumtaz air takdok ni’, “YB Dr Izani air takdok lagi ni’ dan ‘Selamat datang ke zon tiada air’, ‘AKSB kami dok air dale paip’ itu digantung di sepanjang jalan termasuk di laluan masuk Masjid Mukim Pak Keral.
Pemasangan kain rentang itu tular dalam laman sosial seterusnya menimbulkan perdebatan hangat warganet.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Zul Ghani, 53, berkata, kain rentang tersebut dipasang sejak kelmarin sebagai tanda luahan keperitan yang dialami selepas berdepan masalah gangguan bekalan air.
Katanya, masalah ini sudah berlarutan sejak sebulan lalu dan bertambah rumit sejak akhir-akhir ini.
“Memang betul pihak penyedia perkhidmatan ada meletakan tangki-tangki statik untuk kemudahan penduduk. Namun, ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.
“Di sini terdapat lebih 400 rumah. Sejak masalah ini berlaku, aktiviti harian penduduk terjejas dengan teruk sampai nak membersihkan diri pun susah,” katanya.
Zul memberitahu, disebabkan masalah itu dia terpaksa mengeluarkan belanja berjumlah RM2,000 untuk menggali telaga dan membeli pam air untuk mendapatkan bekalan.
“Bagaimanapun, air telaga ini berbau dan saya hanya gunakan untuk mandi sahaja buat sementara waktu sebelum membeli penapis.
“Untuk minum saya terpaksa membeli air mineral,” ujarnya.
Utusan Malaysia 16 Oktober lalu melaporkan, penduduk di Kampung Pak Keral di sini, bertindak menggantung kain rentang sebagai tanda protes selepas berdepan gangguan bekalan air yang berlarutan selama dua bulan tanpa sebarang penyelesaian. – UTUSAN










