Dua beradik kayuh basikal kutip dana demi rakan - Utusan Malaysia

Dua beradik kayuh basikal kutip dana demi rakan

AHNUAR Salleh (kanan) bersama adiknya, Mad Ithnin bergambar di Pantai Merdeka, Kedah sempena ‘Charity Ride Around The Peninsula’ baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang bekas arkitek mengambil inisiatif mengayuh basikal sejauh 2,300 kilometer (km) selama 14 hari sekitar Semenanjung sambil membawa misi mengumpul dana bagi kenalan yang menghidap kanser dan strok.

Ahnuar Salleh, 56, berkata, inisiatif menerusi ‘Charity Ride Around The Peninsular’ yang bermula pada 30 Ogos sehingga 12 September lalu itu turut disertai adiknya, Mad Ithnin Salleh, 42, yang merupakan pensyarah di sebuah pusat pengajian tempatan.

Menurut Ahnuar, ia juga kayuhan keduanya selepas 2015 yang ketika itu dia membuat kayuhan secara solo di sekitar Semenanjung sempena Hari Kemerdekaan.

“Untuk kayuhan kali ini, saya dan Mad Ithnin berhasrat mengumpul dana buat dua kenalan kami bagi merawat penyakit kanser dan strok yang dihidapi termasuk kepada Cancer Survivor Malaysia (CSM) dan telah diuar-uarkan di platform media sosial Facebook milik saya (Ahnuar Salleh) sebelum ini.

“Dalam pada itu, sambil menyebar kesedaran penyakit kanser dan strok dalam kalangan masyarakat, kayuhan ini juga bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 dan Hari Malaysia yang istimewa berbanding sebelumnya berikutan sudah beberapa tahun tidak menyambutnya disebabkan pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, kayuhan hari pertama pada 30 Ogos lalu bermula di Pantai Merdeka, Kedah diikuti beberapa laluan di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Sepanjang kayuhan kami bertemu segenap lapisan masyarakat yang turut memberi sokongan moral selain bertukar maklumat mengenai penyakit kanser mahupun strok.

“Diharap melalui kempen kecil ini masyarakat khususnya akan lebih sedar dan prihatin mengenai pembunuh senyap ini selain sama-sama memberi sokongan moral terhadap pesakit dalam mengharungi kehidupan seharian,” katanya yang berasal dari Merlimau, Melaka.

Sementara itu, Ahnuar menambah, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila adiknya terpaksa direhatkan selama lima hari ekoran mengalami kecederaan pada kaki semasa membuat kayuhan di Kuantan, Pahang.

“Semasa di Kuantan, adik saya mengalami kecederaan bengkak kaki dan doktor menasihatkannya untuk berehat sehingga kembali pulih.

“Dia dibawa pulang untuk berehat sebelum menyambung semula perjalanan di Lukut, Negeri Sembilan lima hari kemudian.

“Saya lihat memang dia bersemangat untuk meneruskan kayuhan bersama-sama meskipun agak risau jika dia mengalami kecederaan. Namun, syukur kami berjaya menamatkan kayuhan di Pantai Merdeka (Kedah) dengan selamat dan lancar,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung bantuan dana kepada dua pesakit kanser dan strok menerusi misi itu boleh menghubungi Ahnuar ditalian 019-447 6108. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya