Trump dakwa permusuhan di Iran sudah ditamatkan

Trump dakwa permusuhan di Iran sudah ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata telah menamatkan permusuhan terhadap Iran, ketika beliau berusaha mengukuhkan hujah bahawa beliau tidak memerlukan kebenaran penggubal undang-undang untuk meneruskan konflik itu.

Dalam surat kepada pemimpin Kongres pada Jumaat, iaitu tarikh akhir untuk melaporkan kepada Kongres mengenai perang, Trump berkata, tiada lagi pertukaran tembakan dengan Iran sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

“Permusuhan yang bermula pada 28 Februari 2026 telah ditamatkan,” katanya dipetik Reuters.

Di bawah Resolusi Kuasa Perang 1973, seorang Presiden AS hanya boleh menjalankan operasi ketenteraan selama 60 hari sebelum perlu menamatkannya, mendapatkan kelulusan Kongres, atau memohon lanjutan 30 hari atas alasan ‘keperluan ketenteraan’ yang tidak dapat dielakkan demi keselamatan anggota tentera AS semasa proses pengunduran.

Pada Jumaat, agensi berita kerajaan Iran IRNA melaporkan Teheran telah menghantar cadangan terbaharu untuk rundingan dengan AS melalui pengantara Pakistan, namun Trump segera menolaknya.

Presiden AS itu secara rasmi memaklumkan Kongres mengenai konflik tersebut 48 jam selepas serangan udara pertama dua bulan lalu, sekali gus memulakan kiraan 60 hari yang berakhir pada 1 Mei.

Ketika tarikh itu semakin hampir, pembantu Kongres dan penganalisis menjangka pentadbiran Republikan akan mencari jalan untuk mengelak had masa tersebut.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Trump berkata pada Khamis, kerajaan berpendapat undang-undang kuasa perang itu tidak terpakai.

Trump pula berkata, beliau menganggap undang-undang itu tidak berperlembagaan, pandangan yang pernah dibangkitkan oleh presiden daripada kedua-dua parti, namun belum diputuskan oleh mahkamah.

“Kami ada gencatan senjata, jadi itu memberi anda masa tambahan,” katanya sebelum berlepas dari Washington ke Florida.

Ahli Kongres Demokrat, yang telah berulang kali cuba meluluskan undang-undang kuasa perang bagi memaksa Trump menamatkan perang atau mendapatkan kelulusan Kongres, menolak kenyataan itu dengan berhujah tiada peruntukan dalam undang-undang 1973 yang membenarkan gencatan senjata digunakan sebagai alasan sedemikian.

Mereka juga berkata, penempatan berterusan kapal perang AS yang menyekat eksport minyak Iran adalah bukti permusuhan masih berterusan, bukan gencatan senjata.

“Selepas 60 hari konflik, Trump masih tidak mempunyai strategi atau jalan keluar untuk perang yang dirancang dengan buruk ini,” kata Senator, Jeanne Shaheen dari New Hampshire, yang merupakan ahli utama Demokrat dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat, dalam satu kenyataan yang menyifatkan tarikh akhir itu sebagai ‘ambang undang-undang yang jelas’ untuk Trump bertindak.

Dalam suratnya kepada Kongres, Trump mengakui konflik itu mungkin belum selesai. Beliau berkata, Iran masih menimbulkan ancaman ‘ketara’ kepada AS dan pasukan tenteranya.

Ahli Republikan, yang menguasai majoriti tipis di Senat dan Dewan Perwakilan serta jarang bercanggah dengan Trump, hampir sebulat suara mengundi untuk menyekat semua resolusi yang cuba menamatkan konflik itu.

Perang Iran telah meragut ribuan nyawa, menyebabkan kerosakan bernilai berbilion dolar dan mengganggu pasaran dunia, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga serta menaikkan pelbagai harga barangan pengguna.

Tinjauan menunjukkan perang itu tidak popular dalam kalangan rakyat AS sendiri, ketika pilihan raya November semakin hampir yang akan menentukan kawalan Kongres tahun depan.

Perlembagaan AS menyatakan hanya Kongres, bukan presiden, boleh mengisytiharkan perang, tetapi sekatan itu tidak terpakai untuk operasi jangka pendek atau tindakan terhadap ancaman segera.

Pada Khamis, Trump menerima taklimat mengenai rancangan serangan ketenteraan baharu untuk memaksa Iran berunding menamatkan konflik itu.

Jika pertempuran bersambung, Trump boleh memaklumkan kepada penggubal undang-undang satu kiraan 60 hari baharu telah bermula.

Presiden AS daripada kedua-dua parti sebelum ini pernah melakukan perkara sama ketika melaksanakan operasi ketenteraan berselang-seli sejak Kongres meluluskan undang-undang kuasa perang sebagai tindak balas kepada Perang Vietnam.

Perang tersebut, yang juga tidak popular dalam kalangan rakyat AS, turut tidak mendapat kelulusan Kongres.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN