BN akan kembali dominan selepas PRU-15-Arthur Kurup

BN akan kembali dominan selepas PRU-15-Arthur Kurup

ARTHUR Joseph Kurup (dua kanan) menerima borang keahlian daripada Ketua Penyelaras PBRS Parlimen Tawau, Ariffin Kassim (kanan) di Tawau semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yakin Barisan Nasional (BN) akan menjadi parti dominan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, berdasarkan trend di Semenanjung Malaysia, selepas tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), BN telah memenangi kesemua PRK tersebut.

Malah, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, BN menang besar dengan lebih dua pertiga kerusi.

Berdasarkan trend itu, beliau yakin BN akan menjadi parti dominan selepas PRU-15.

Beliau berkata, pada PRU-15, PBRS menyasarkan untuk bertanding kerusi Parlimen Tawau.

“Walau bagaimanapun, kita masih di peringkat perundingan bersama kepimpinan pusat.

“Kita akan menghantar nama bagi calon Parlimen Tawau dan juga untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mungkin perlu kerana akan sampai masa pembubaran DUN diadakan selepas PRU,” katanya selepas perasmian Pejabat PBRS dan penyerahan borang keahlian Parlimen Tawau, semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, pada masa ini keahlian mereka telah mencecah 105,000 orang ahli pada Februari lalu dan jumlah itu telah bertambah sepanjang tempoh berkenaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, seramai 2,168 orang ahli baharu menyerahkan borang keahlian pada hari ini termasuk mereka yang datang daripada parti lain.

“Ini satu perkembangan positif bagi PBRS dan BN. Ini menunjukkan rakyat mula sedar bahawa BN adalah pilihan terbaik untuk menerajui kerajaan bagi membawa negara ke peringkat yang lebih baik, khususnya dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Penyertaan secara beramai-ramai ini membuktikan PBRS adalah pilihan kepada rakyat sebab kita parti tempatan Sabah yang ingin menyumbang kepada BN serta memastikan BN menjadi parti dominan selepas PRU akan datang,” katanya.

Menyentuh tentang kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Arthur berkata, di peringkat negeri, sebarang keputusan untuk bergerak ke depan akan dibincangkan secara bersama antara BN dan GRS demi kebaikan dan manfaat kepada negeri Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN