Jawatankuasa Arab-Islam kecam AS sekat visa delegasi Palestin ke PBB - Utusan Malaysia

Jawatankuasa Arab-Islam kecam AS sekat visa delegasi Palestin ke PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Satu jawatankuasa menteri Arab-Islam mengenai Gaza menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) yang menolak permohonan visa delegasi Palestin ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bulan depan, menurut laporan Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu menggesa pentadbiran AS menarik balik keputusan tersebut, sambil menekankan kepentingan mematuhi tanggungjawab AS di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB, termasuk menyediakan ruang untuk dialog diplomatik.

“Penolakan visa ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip diplomasi antarabangsa, tetapi juga boleh menjejaskan usaha damai di Palestin,” menurut kenyataan tersebut.

Jawatankuasa turut menegaskan keperluan untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta Presidennya, Mahmoud Abbas, dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan komitmen untuk menegakkan keamanan, melawan keganasan dan menolak ekstremisme.

Menurut jawatankuasa itu, sebarang tindakan yang melemahkan kedudukan Pihak Berkuasa Palestin hanya akan menggagalkan usaha damai dan memburukkan lagi konflik yang sedang berlarutan.

Tindakan AS membatalkan visa beberapa anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin dikaitkan dengan dakwaan mereka gagal menolak keganasan, serta terus menghasut keganasan dan menjalankan kempen undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Langkah itu diumumkan ketika beberapa negara Barat seperti Perancis, UK, Kanada dan Australia dilaporkan menimbang pengiktirafan rasmi terhadap negara Palestin semasa Perhimpunan Agung PBB berlangsung.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata pihaknya mengetahui tindakan AS itu melalui laporan media, dan sedang merancang perbincangan lanjut dengan Washington.

Beliau menegaskan semua perwakilan yang layak hadir ke Perhimpunan Agung harus dibenarkan menyertainya tanpa sekatan.

Jawatankuasa Arab-Islam, yang juga dikenali sebagai Kumpulan Perhubungan Gaza ditubuhkan semasa Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Riyadh pada November 2023.

Ia terdiri daripada negara-negara termasuk Turkiye, Palestin, Indonesia, Qatar, Mesir, Nigeria, Arab Saudi, Jordan, serta OIC dan Liga Arab, dengan Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu menyertai kemudian.

Sejak itu, kumpulan ini melaksanakan inisiatif diplomatik aktif di pelbagai ibu negara seperti London, Paris, Washington, New York, Ottawa, Brussels, Oslo, Madrid, Kaherah dan Amman dalam usaha menamatkan konflik dan mencari penyelesaian damai yang berkekalan di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN