JAKARTA: Kediaman Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Ahmad Sahroni, musnah diserang sekumpulan penunjuk perasaan susulan kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya baru-baru ini.
Insiden berlaku pada Sabtu di Tanjung Priok, Jakarta Utara, apabila ratusan orang awam bertindak menyerbu rumah milik ahli politik dari Parti NasDem itu. Ketegangan tercetus selepas Sahroni menggelar mereka yang menyeru pembubaran DPR sebagai “orang tolol sedunia”.
Kemarahan rakyat yang selama ini tertumpu kepada bangunan Parlimen dan fasiliti awam kini beralih kepada individu tertentu, dengan Sahroni menjadi sasaran utama kerana dianggap simbol elitisme dan keangkuhan politikus.

Menurut laporan, penunjuk perasaan bertindak memecah masuk ke rumah Sahroni dengan merosakkan pagar, sebelum menggeledah kediaman tersebut dan mengambil pelbagai barangan mewah. Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk jam tangan eksklusif jenama Richard Mille, kasut-kasut mewah, serta patung Iron Man yang menjadi koleksi peribadi beliau.
Sebuah kenderaan turut dimusnahkan dalam kejadian tersebut.
Di media sosial, kemarahan terhadap Sahroni terus memuncak dengan tanda pagar seperti #SahroniOut dan #BubarkanDPR menjadi trending. Insiden ini mencerminkan kemarahan rakyat terhadap kepimpinan DPR dan dasar-dasar yang dianggap tidak mewakili kepentingan umum.
Dalam perkembangan berkaitan, Sahroni didakwa telah melarikan diri ke Singapura bagi mengelak kekecohan yang semakin memuncak.
Ahmad Sahroni, yang dikenali dengan gelaran ‘Crazy Rich Tanjung Priok’, merupakan ahli politik dan usahawan yang berjaya dalam bidang perkapalan serta minyak dan gas. Dilahirkan pada 8 Ogos 1977, beliau berasal daripada keluarga susah dan mula menyertai politik melalui Parti NasDem. Beliau mula berkhidmat sebagai Anggota DPR sejak 2014 dan pernah menjawat jawatan sebagai Wakil Ketua Komisi III DPR RI.
Selain politik, Sahroni turut aktif dalam komuniti automotif eksklusif seperti Ferrari Owners Club Indonesia dan Harley Davidson Club Indonesia (HDCI).









