27 ‘bayi merdeka’ lahir di Terengganu

27 ‘bayi merdeka’ lahir di Terengganu

KAKITANGAN dan jururawat bergambar bersama bayi-bayi merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 2025 di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 27 ‘bayi merdeka’ terdiri daripada 18 lelaki dan sembilan perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu bermula pukul 12 tengah malam hingga 11 pagi INI.

Daripada jumlah itu, 20 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; dua masing-masing di Hospital Kemaman dan Hospital Besut manakala seorang di Hospital Setiu, Hospital Dungun serta Hospital Hulu Terengganu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, bayi pertama yang dilahirkan ialah seorang bayi lelaki pada pukul 12.01 pagi di HSNZ.

Katanya, semua bayi berkenaan turut menerima hadiah istimewa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Co-opbank Pertama.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, bayi yang lahir pada 31 Ogos diraikan dengan cenderahati khas serta sijil penghargaan daripada JPN Terengganu sebagai tanda kenangan Hari Kebangsaan. Majlis ini juga menjadi simbolik kepada permulaan generasi baharu yang bakal mewarisi semangat patriotisme negara,” katanya pada Program Sambutan Bayi Merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPN Negeri Terengganu, Awatif Hannan Md. Yusup berkata, penganjuran majlis tersebut adalah sebahagian daripada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR). 

Katanya, program itu bukan sahaja meraikan kelahiran bayi merdeka tetapi jmenjadi medium memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pendaftaran kelahiran awal. 

Sementara itu, seorang ibu, Norhayati Omar, 37, tidak menyangka anak perempuannya menjadi bayi perempuan pertama yang dilahirkan di HSNZ sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-68.

“Sepatutnya bayi kedua kami ini dijangka lahir pada 10 September, namun rezeki kami dikurniakan cahaya mata perempuan pertama pada tarikh bersejarah ini. Anak saya merupakan bayi merdeka keempat di HSNZ tetapi bayi perempuan pertama yang dilahirkan hari ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN