PETALING JAYA: Malaysia dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun menerusi pembinaan kemudahan pengeluaran di negara ini sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi.
Katanya, kerjasama strategik itu merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara khususnya dalam bidang teknologi roket dan misil.
“Kerajaan menyambut baik dan menyokong sepenuhnya kerjasama strategik ini kerana ia sejajar dengan usaha negara untuk membangunkan keupayaan tempatan dalam pembangunan dan pengeluaran roket serta misil.
“Pelaburan yang dilaksanakan oleh Weststar turut membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat (sovereign defence capability),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pelaburan itu bukan sahaja akan memberikan pulangan signifikan kepada industri pertahanan negara, malah merupakan pelaburan strategik ke arah memperkukuh keupayaan pertahanan negara yang berdaulat demi generasi akan datang.
“Tahniah kepada Weststar atas keyakinan dan komitmen untuk melabur dalam bidang strategik ini,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menerusi lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Australia telah menyaksikan Majlis Pemeteraian Kerjasama Strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) yang berlangsung hari ini.
Perjanjian kerjasama itu telah dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim dengan Pengasas RTI, Allan James Payne. – UTUSAN










