KUALA LUMPUR: Penyanyi, Eda Ezrin mengakui dia memilih untuk tidak membaca sebarang komen negatif yang mengaitkan dirinya dengan kontroversi lalu.
Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail berkata, dirinya kini berada di fasa tenang dan bahagia menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.
“Alhamdulillah, sekarang memang saya berada di fasa yang tenang. Semuanya okey. Buat masa ini saya tidak endahkan apa orang mahu komen atau cakap.
“Saya cuma mahu fokus kepada keluarga dan kerjaya saya,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Kelate Ke KL 2026, pada Rabu.
Selain itu, penyanyi lagu Bae Soba Bae itu juga memberitahu kerjayanya tidak bergantung seratus peratus dalam nyanyian kerana dia juga aktif membuat ulasan produk untuk menjana pendapatan.
“Selain menyanyi, saya juga buat ulasan produk. Alhamdulillah banyak juga tawaran. Jadi bukan bergantung kepada nyanyian semata-mata.
“Dulu saya juga pernah membuka kedai makan. Insya-Allah selepas ini kami akan buka semula. Cuma buat satu demi satu dahulu,” jelasnya.
Mengulas mengenai penglibatannya dalam Konsert Kelate Ke KL 2026, Eda mengakui dirinya sangat teruja apabila dapat menghiburkan peminatnya dalam sebuah acara berprestij pada 29 Ogos depan.
“Saya sangat gembira. Peluang seperti ini bukan mudah untuk dapat. Seronok dapat bertemu ramai orang dan pergi ke tempat-tempat yang sebelum ini saya tidak pernah sampai. Bukan sekadar di Kelantan sahaja,” ujarnya.
Pada 2 November 2024, Eda antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat.
Bagaimanapun, penyanyi itu bersama enam individu yang lain termasuk suaminya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda oleh Mahkamah Narathiwat di sini, perlu kembali semula ke penjara.
Kesemua mereka perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dalam tempoh sebulan hingga empat bulan.
Pada 6 Ogos 2025, penyanyi berasal dari Kelantan itu bersama empat rakan yang dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.









