Biro Siasatan Kemalangan Udara siasat helikopter terhempas

Biro Siasatan Kemalangan Udara siasat helikopter terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan berhubung insiden sebuah helikopter terhempas dan dijumpai di Kampung Kenangan, Bidor, Perak, pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo berkata, siasatan berkenaan dibuat mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Beliau berkata, ia selepas penamatan penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat. 

“Helikopter Eurocopter EC120B, pendaftaran N409HH ditemukan oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01. Bangkai pesawat dan mangsa ditemukan berhampiran Kampung Kenangan, Bidor pada pukul 8.18 pagi. 

“Combat Air Rescue (CAR), TUDM berada di darat untuk membantu membawa mangsa dari tempat kejadian. RESCUE01 telah membawa mangsa dan mendarat di Padang Sekolah Anderson pada 10.30 pagi sebelum dibawa oleh ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak. 

“Mangsa walau bagaimanapun tidak sedarkan diri semasa misi menyelamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mayat juruterbang helikopter berkenaan, Tsz Kin Richard Chan, 58, yang dilaporkan hilang dari radar di sekitar Hutan Simpan Chikus ditemukan pasukan operasi SAR di bahagian kokpit helikopter.

Mangsa adalah warganegara Hong Kong dan bekerja dengan syarikat swasta penerbangan berkenaan.

Pada masa sama, CAAM mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR daripada TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini termasuk Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua organisasi yang terlibat dalam misi SAR ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.