Hasilkan lebih 500 cincin daripada sudu terpakai

Hasilkan lebih 500 cincin daripada sudu terpakai

PETALING JAYA, 3 JUN 2026 - Pemilik Aneeka Studio, Sofeea Md. Zulfadzli ketika ditemui di bengkel cincin buatan tangan, Aneeka Studio, Petaling Jaya di sini hari ini. GAMBAR: SYAKIR RADIN / PEMBERITA: ROSALINDA UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudu yang sudah bertompok, bercalar, berkarat dan kusam lazimnya dibuang kerana dianggap tidak lagi bernilai.

Namun, barangan dapur itu masih boleh diberi nafas baharu apabila diolah menjadi aksesori unik.

Melihat potensi tersebut, Sofeea Md. Zulfadzli, 26, mula menghasilkan cincin menggunakan sudu terpakai.

Sehingga kini, lebih 500 cincin telah dihasilkan oleh pemilik Aneeka Studio ini sejak 2020.

Katanya, idea kreatif itu tercetus selepas menonton video yang dikongsikan warga Australia di media sosial.

Berbekalkan pengalaman dalam pembuatan cincin perak, dia memberanikan diri untuk mencuba konsep tersebut.

Walaupun trend cincin sudu sudah popular di luar negara, ia masih belum meluas di Malaysia, sekali gus menjadikan wanita ini antara perintis dalam bidang tersebut.

“Cincin sudu ini mula dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengisi masa lapang di rumah.

“Saya memang sukakan aktiviti buat sendiri (DIY) dan pernah bekerja di kedai barangan kemas yang menghasilkan rekaan tempahan khas, jadi saya tertarik untuk mencubanya.

“Dalam masa sama, saya tidak menyangka sudu sebenarnya boleh dijadikan perhiasan diri,” kata peminat cincin ini.

Pada peringkat awal, pemegang Diploma Reka Bentuk Dalaman ini hanya menggunakan sudu sedia ada di rumahnya.

Dia kemudian mendapatkan bahan tersebut daripada pelbagai sumber, khususnya kedai barangan terpakai.

Keutamaan diberikan kepada corak yang cantik, unik dan jarang ditemui.

Selain sudu, bahan lain yang turut digunakan ialah garpu dan pisau mentega.

“Sepanjang enam tahun ini, dianggarkan lebih 1,000 sudu terpakai dibeli untuk dijadikan cincin.

“Kebanyakannya berharga antara RM0.50 hingga RM1, namun nilainya boleh meningkat jika mempunyai corak eksklusif.

“Antara koleksi sudu paling mahal yang pernah saya jumpa dan beli ialah daripada jenama Rolex,” katanya.

 

Proses ringkas, cepat
Penghasilan cincin sudu hanya mengambil masa kurang 40 minit untuk disiapkan.

Kata Sofeea, proses bermula dengan memilih corak diingini pada sudu sebelum mengambil ukuran saiz jari.

Seterusnya, sudu akan ditanda mengikut ukuran tersebut, kemudian dipotong manakala bahagian tepinya dikikis bagi melicinkan permukaan.

“Selepas itu, sudu dibengkokkan dengan menggunakan mesin khas sehingga membentuk cincin.

“Proses ini paling mencabar terutama jika bahan yang digunakan lebih tebal dan keras, namun jika sudu nipis ia lebih mudah,” katanya. .

Langkah terakhir ialah menggilap bagi memastikan cincin berkilat dan kemas.

Katanya, harga cincin sudu bermula antara RM60 hingga RM100.

Lebih menarik, pelanggan juga berpeluang menghasilkan sendiri cincin tersebut menerusi bengkel khas di studio miliknya di Kota Damansara.

“Bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan kerana pelanggan bukan sahaja belajar membuat cincin, tetapi turut menikmati pengalaman bersama rakan atau pasangan mereka.

“Bahkan, sisa sudu yang tidak digunakan turut diolah menjadi rantai kunci untuk dibawa pulang sebagai kenangan,” katanya.

Imbau nostalgia
Niat awalnya menceburi bidang ini adalah untuk membantu memelihara alam sekitar menerusi amalan kitar semula barangan terpakai.

Tanpa disangka, usaha itu turut menghidupkan semula nostalgia dalam kalangan pelanggan.

Katanya, corak pada sudu lama sering mengingatkan pelanggan kepada peralatan makan yang pernah digunakan di rumah ibu, nenek atau ahli keluarga mereka suatu ketika dahulu.

Malah, ada yang mengakui rekaan tersebut mengimbau kembali kenangan manis menikmati hidangan bersama keluarga semasa zaman kanak-kanak.

“Bukan itu sahaja, segelintir pelanggan sanggup mencari corak tertentu kerana mahu menyimpan sesuatu yang mengingatkan mereka kepada insan tersayang atau memori lama,” katanya.

Bagi Sofeea, maklum balas sedemikian memberikan kepuasan tersendiri kerana setiap cincin yang dihasilkannya bukan sekadar aksesori, tetapi turut membawa cerita dan kenangan yang bermakna kepada pemiliknya.

Mudah dijaga
Cincin sudu tidak memerlukan penjagaan yang rumit berbanding cincin perak.

Hal itu kerana ia dihasilkan daripada keluli tahan karat (stainless steel) yang menjadikannya lebih tahan lasak.

“Ia tidak mudah berubah bentuk dan sesuai dipakai setiap masa, malah tahan calar serta kekal berkilat dalam tempoh lama.

“Kalau sudah nampak kusam, cukup sekadar digilap semula untuk menjadikannya kembali berkilat,” katanya.

Selain menghasilkan cincin, Sofeea turut merancang untuk memperluaskan lagi kreativiti dengan menghasilkan pelbagai aksesori lain berasaskan sudu.

Antaranya termasuk loket dan subang, namun projek tersebut masih belum dimulakan berikutan kekangan masa.

“Projek baharu itu masih belum bermula lagi, tetapi insya-Allah ia akan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Saya mempunyai banyak lebihan sisa sudu yang dipotong, jadi sekurang-kurangnya bahan itu dapat dimanfaatkan semula daripada dibuang begitu sahaja,” katanya.

 

Infografik
Petua kilatkan sudu
-Taburkan serbuk penaik pada sudu dan garpu kusam kemudian tuangkan sedikit cuka di atasnya.
-Rendamkan dalam air panas selama 15 hingga 30 minit.
-Bilas dan lap dengan kain bersih.
-Selain itu, elakkan guna penyental besi yang boleh mencalarkan permukaan sudu dan jangan biarkan sudu kering sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×