MONTMELO: Lewis Hamilton berkata, beliau perlu membina semula kekuatan mentalnya untuk membolehkannya meraih kemenangan Grand Prix pertamanya bersama Ferrari di Barcelona.
Pemandu berusia 41 tahun itu yang menyertai Scuderia musim lalu, memenangi perlumbaan buat kali pertama dalam hampir dua tahun dan kelihatan sangat beremosi selepas melepasi garisan penamat di Montmelo.
Hamilton berkata, beliau perlu menepis keraguan dan pemikiran negatif untuk kembali bersaing merebut kejuaraan dunia, di mana beliau kini ketinggalan 41 mata di belakang remaja sensasi Mercedes, Kimi Antonelli.
“Apa yang saya tahu ialah jangan sesekali mempersoalkan diri sendiri, jangan sesekali meragui diri sendiri. Anda mesti terus percaya kepada diri sendiri pada tahap paling asas.
“Itulah perkara-perkara yang berjaya saya terapkan semula dalam mentaliti saya. Saya telah membina semula minda saya hingga ke tahap ini untuk membawa diri saya kembali ke tempat saya pernah berada. Ia satu perasaan yang hebat untuk berdiri di atas podium itu,” katanya
Hamilton berkata, walaupun menghadapi kesukaran musim lalu, beliau tidak pernah kehilangan keyakinan bahawa menyertai Ferrari adalah keputusan yang tepat.
“Saya benar-benar yakin dengan keputusan saya untuk menyertai Ferrari. Saya benar-benar percaya kepada apa yang pasukan ini mampu capai, dan apa yang boleh kami capai bersama.
“Saya tahu ia bermula dengan penuh keterujaan, kemudian diikuti dengan banyak keraguan dan pelbagai komen negatif sepanjang tahun.
“Saya benar-benar merasakan para peminat saya telah menyelamatkan saya tahun lalu. Keluarga dan rakan-rakan juga sentiasa bersama saya sepanjang tempoh itu,” kata pemandu Britain itu. – AFP/UTUSAN










