DUNGUN : Seorang ibu tidak menyangka perubahan anaknya yang berselera makan ketika bersarapan sebelum ke sekolah pagi semalam, menjadi tanda akhir pemergian anaknya yang ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Dungun, berhampiran Kampung Rajawali, dekat sini, hari ini.
Al Miahnor Ali, 47, berkata, kebiasaannya, anaknya, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, jarang menikmati sarapan pagi dan hanya membawa bekal makanan ke sekolah.
“Semalam saya sajikan sandwich kegemarannya, dia beritahu tak mahu bawa bekal dan nak makan di rumah.
“Saya tengok dia sangat berselera makan, tidak seperti kebiasaannya. Tak sangka itu juadah terakhirnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam, murid tahun enam hilang ketika mandi bersama lima rakan sekelasnya.
Al Miahnor berkata, dia hanya mengetahui tragedi menimpa anak keenam daripada tujuh adik beradik tersebut selepas diberitahu salah seorang rakan anaknya yang datang ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari sungai tersebut.
“Awalnya, Abdul Rafiuddin memberitahu suami, dia ingin bermain bola sepak di kawasan lapang berhampiran sungai. Memang biasa dia akan bermain bola di situ bersama rakan-rakannya.
“Saya tak sangka dia mandi sebab selalunya saya selalu pesan supaya jangan mandi sungai,” katanya.
Al Miahnor berkata, anaknya juga turut menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih pendiam berbanding sebelum ini.
“Guru-guru pun ada beritahu dia lebih pendiam seminggu ini. Memang agak pelik sebab dia seorang yang peramah dan aktif sebab dia atlet sekolah, bergaul dengan semua rakan-rakan dan guru di sekolah,” katanya.
Al Miahnor berkata, meskipun sedih dan terkejut dengan kejadian tersebut, namun dia bersyukur jasad anaknya selamat ditemui kira-kira pukul 2.30 pagi.
Menurutnya, jenazah Abdul Rafiuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelandang, Pulau Serai, pada pukul 2.20 petang.
Sementara itu, salah seorang rakan mangsa, Wan Adib Hakimi Wan Ahmad Khairudin, 12, berkata, dia dan tiga rakannya termasuk Abdul Rafiuddin cuba berenang menyelamatkan diri selepas menyedari air pasang ketika bermain di beting pasir yang timbul ekoran air surut kira-kira 30 meter daripada darat.
“Kami memang nak naik ke darat sebab takut tak sempat naik kalau air laju. Ketika sedang berenang, saya dengar Abdul Rafiuddin dan seorang lagi rakan, Muhammad Qhalish Iman Hazimi menjerit meminta tolong dan beritahu mereka tak boleh berenang.
“Saya dan rakan-rakan lain baling pelampung dan tarik Muhammad Qhalish Iman, kami nampak Abdul Rafiuddin tenggelam dan hilang,” – UTUSAN










