‘Bila cakap tak dengar, penampar mungkin jalan terbaik’ - Utusan Malaysia

‘Bila cakap tak dengar, penampar mungkin jalan terbaik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUASA adalah situasi di mana kita mampu mempengaruhi, mengawal sesuatu tindakan serta keputusan kepada orang lain. Pendek kata, kita akan berkuasa bila orang boleh ikut telunjuk kita. Ahli akademik menggariskan beberapa komponen kepada pemegang tampuk kuasa antaranya autoriti, keupayaan mengawal sumber (tidak kisahlah wang, maklumat atau peluang), pengaruh, kepakaran, sokongan sosial sehinggalah paksaan.

Drama bersiri Teach You a Lesson (TYAL) menjadi siri yang banyak meraih tumpuan dunia. Bahkan di Malaysia, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi mengakui drama 10 episod yang menceritakan isu buli di sekolah melibatkan pihak guru, ibu bapa dan pelajar memang ada terjadi di Malaysia. Malah organisasi yang diwujudkan dalam siri ini Pegawai Utama Biro Perlindungan

Hak Pendidikan (BPHP) seakan-akan menyamai tugas warden sepenuh masa yang juga merupakan bekas tentera.

TYAL tercetus selepas Choi Gang-seok kehilangan anaknya yang juga seorang guru akibat dibunuh oleh pelajarnya sendiri. Sebagai menteri, dia mewujudkan BPHP yang diketuai menantunya yang juga bekas komander tentera, Na Hwa-jin. BPHP tidak ramai, hanya empat ketul sahaja, tidak semua perlu tahu berlawan cuma ada kepakaran masing-masing.

Daripada webtoon asal ‘Get Schooled’ yang jauh lebih ganas, Hong Jong-chan (Juvenile Justice) dan pasukan penulis skripnya Lee Nam-kyu (The Light in Your Eyes), Kim Da-hee dan Moon Jong-ho mengolah semula rangka cerita.

Setiap siri memperlihatkan masalah berbeza tapi saling terkait antara setiap episod. Akar masalahnya sama, sistem yang ada tidak lagi meletakkan guru sebagai autoriti paling berkuasa. Pergeseran kuasa ini banyak disinggung dalam setiap episod.

Dalam sistem persekolahan hari ini, guru tidak lagi dilihat mampu memberi pengaruh, mengawal sumber atau diiperlukan kepakarannya. Oleh itu, BPHP sebagai pihak ketiga hadir membawakan jalan terakhir untuk mengembalikan kuasa kepada haknya iaitu melalui coercion seperti yang pernah dibangunkan ahli sosiologi Max Weber.

BPHP ada kuasa besar, setiap nazir boleh lakukan apa sahaja tanpa batas dan had di sekolah yang terpilih. Pendek kata, ancaman dan hukuman yang diguna pakai di bawah BPHP adalah sebuah kekerasan yang sah. Bila sistem tidak boleh beri kuasa, mungkin pelempang jalan keluarnya. Nazir BPHP banyak memulangkan paku buah keras kepada para pembuli dan entah mengapa sangat puas melihat getah yang pernah dibaling di baju orang lain melekat semula di baju sendiri.

Siri ini juga menelanjangkan kepada kita bahawa buli boleh hadir dalam banyak cara, kuasa juga boleh dimanipulasi asal kita tahu bagaimana cara bercerita, merujuk kepada pempengaruh wanita yang menuduh guru cuba merabanya. Guru popular yang terima sogokan isteri ahli politik, dadah sehinggalah naratif yang dibawakan murid psychopath. Ia juga tidak hanya tentang hubungan murid-guru, begitu juga pelajar yang lebih sudu daripada kuah menekan cikgu hingga semangat mengajar hilang

Cerita-cerita dalam siri ini dibina sangat solid, termasuklah setiap karakter walaupun peranan mereka kecil di dalam drama. Semacam ada dadah di setiap episod membuat kita ketagih dan berharap agar kemenangan berpihak kepada mangsa.

Saya fikir itu reaksi yang berjaya untuk sebuah naskhah revenge-based drama yang dilihat semakin popular diguna pakai Korea Selatan, situasinya sama macam bila kita tonton Piala Dunia berharap kemenangan berpihak kepada pasukan yang kita sayang.

Bagaimanapun, sukar untuk saya tidak berfikir bahawa BPHP ada bahayanya juga. Strategi ganas dibalas ganas, pelempang dibalas pelempang, dimalukan dibalas dimalukan akan menoreh luka yang lebar.

Semacam kitaran berputar, yang membuli kembali dibuli walau bukan dilakukan oleh mangsanya. Akan ada kesumat, luka yang tertinggal membuatkan mereka ketar-ketar mengenang apa yang dilakukan BPHP kepada mereka semasa zaman sekolah dahulu.

Lebih-lebih lagi cerita mereka boleh diakses dan dipaparkan di laman sesawang BPHP, tujuh keturunan pun cucu cicit mereka boleh melihat kembali dosa dilakukan nenek mereka ketika berusia 15 tahun.

Tujuh keturunan juga orang akan bercakap dan berkata ‘nenek kau dulu pembuli’ dan kesalahan itu perlu ditanggung orang tidak bersalah walaupun buat dia yang memulakan segala telingkah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN