Trump sambut ulang tahun kelahiran ke-80 dengan pertarungan seni bela diri - Utusan Malaysia

Trump sambut ulang tahun kelahiran ke-80 dengan pertarungan seni bela diri

DONALD Trump menyambut ulang tahun kelahiran ke-80. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 pada Ahad dengan gaya tersendiri yang agresif, menyaksikan presiden tertua dalam sejarah AS itu menganjurkan perlawanan seni bela diri dalam sangkar di pekarangan Rumah Putih.

Acara luar biasa seni bila diri campuran yang dinamakan ‘UFC Freedom 250’ itu bakal menampilkan 14 bintang Kejohanan Pertarungan Tertinggi  sesama sendiri di dalam arena gergasi yang digelar The Claw.

Melibatkan kos sebanyak AS$60 juta (RM243 juta), acara itu dikaitkan dengan sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS tahun ini namun ia juga secara kebetulan jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Trump.

Pihak pengkritik bagaimanapun mengecam acara gilang-gemilang di pekarangan paling terkenal di AS itu, dengan menyifatkannya sebagai tidak sensitif ketika negara sedang berhadapan dengan perang menentang Iran yang menyebabkan lonjakan harga barang bagi rakyat biasa.

Trump dilaporkan mungkin memuktamadkan perjanjian damai dengan Iran yang lama diusahakannya pada hari bersejarah ini, walaupun Teheran meragui garis masa tersebut.

“Ini akan menjadi satu acara yang anda akan sangat-sangat suka,” kata Trump ketika menerima kunjungan beberapa petarung di Pejabat Oval, Mei lalu.

Pihak Rumah Putih menegaskan bahawa UFC menanggung keseluruhan kos penganjuran tersebut. Ketua Pegawai Kandungan UFC, Craig Borsari pula menafikan dakwaan bahawa pihaknya mencampuradukkan sukan dengan politik.

“Cara kami melihat perkara ini ialah kami mempunyai peluang yang luar biasa dan sangat unik untuk meraikan negara ini serta atlet-atlet kami,” kata Borsari dalam satu sidang akhbar minggu ini.

Dalam satu gimik yang dramatik, beberapa petarung utama yang menyertai acara hari Ahad ini dilaporkan bakal keluar dari Pejabat Oval sendiri sebelum berarak ke pekarangan bersejarah Laman Selatan di Rumah Putih.

Pertarungan  itu sendiri akan berlangsung di dalam Octagon, sebuah sangkar dawai pagar lapan sisi yang dikelilingi oleh tempat duduk bagi menampung lebih 4,000 penonton.

Petarung UFC, Michael Chandler, yang dijadualkan bertarung pada Ahad, menyifatkan perlawanan itu sebagai acara pertarungan terbesar dalam sejarah sukan tempur. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN