Nyawa jadi taruhan demi babak sempurna - Utusan Malaysia

Nyawa jadi taruhan demi babak sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam industri perfileman Hollywood, babak aksi sering menjadi elemen penting yang menentukan kejayaan sesebuah naskhah.

Di sebalik adegan mendebarkan yang dipaparkan di layar perak, wujud pelakon yang sanggup menjalani latihan intensif, menanggung kecederaan malah mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan setiap babak tampil lebih realistik.

Walaupun penggunaan pelakon lagak ngeri atau stunt double menjadi amalan biasa dalam industri, segelintir pelakon memilih untuk melakukan sendiri sebahagian besar aksi mereka.

Berikut merupakan lima pelakon Hollywood yang sanggup pertaruhkan nyawa demi babak yang sempurna:-

Tom Cruise

Tom Cruise merupakan antara nama paling sinonim dengan aksi berbahaya dengan keberaniannya melakukan pelbagai stunt ekstrem sendiri dalam setiap filem yang dibintanginya.

Menerusi filem Mission: Impossible, Tom melakukan sendiri adegan bergayut pada pesawat yang sedang berlepas, memanjat bangunan tinggi serta melaksanakan aksi motosikal berisiko tinggi demi menjadikan setiap babak tersebut realistik.

Bukan itu sahaja, aktor tersebut juga sanggup menjalani latihan intensif, mempelajari kemahiran memandu helikopter dan latihan udara bagi menjayakan sesuatu watak.

Jackie Chan

Nama Jackie Chan sering dikaitkan dengan aksi berbahaya yang dilakukan sendiri sejak awal kemunculannya dalam industri filem.

Keberaniannya melakukan stunt tanpa terlalu bergantung kepada bantuan teknikal menjadikan beliau antara ikon aksi paling berpengaruh di dunia.

Antara babak aksi paling ikonik yang dilakukan beliau seperti adegan meluncur di tiang lampu dalam Police Story serta aksi jatuh dari menara jam dalam Project A.

Difahamkan, pelakon berusia 72 tahun itu telah mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah tulang dan kecederaan serius akibat stunt yang dilakukan sendiri.

Jason Statham

Memiliki latar belakang dalam bidang sukan memberikan kelebihan besar kepada aktor versatil, Jason Statham dalam membina reputasi sebagai bintang aksi yang banyak melakukan sendiri stunt fizikal.

Sebelum menceburi dunia lakonan, Jason merupakan atlet terjun papan anjal kompetitif yang aktif di peringkat antarabangsa. Kebolehan fizikal tersebut menjadikan beliau antara wajah utama filem aksi di Hollywood.

Bukan itu sahaja, pelakon filem The Transporter itu juga terkenal dengan keberaniannya melakukan babak aksi tanpa memerlukan bantuan stuntman tanpa kelihatan kekok di lensa kamera.

Keanu Reeves

Pelakon filem John Wick, Keanu Reeves menjalani latihan seni mempertahankan diri, pengendalian senjata dan pemanduan aksi selama berbulan-bulan sebelum terlibat dalam sesi penggambaran naskhah tersebut.

Persediaan itu menjadikan sebahagian besar babak pertarungan dan aksi dilakukan sendiri dengan lebih lancar. Selain siri John Wick, beliau turut terkenal dengan komitmen tinggi ketika membintangi francais The Matrix yang memerlukan latihan koreografi kompleks dan aksi fizikal yang mencabar.

Pendekatan tersebut menjadikannya antara pelakon aksi yang dihormati kerana ketelitian dan disiplin latihan sebelum penggambaran.

Charlize Theron

Charlize Theron muncul sebagai antara pelakon wanita yang mengubah persepsi terhadap genre aksi menerusi komitmen tinggi terhadap latihan fizikal dan koreografi pertarungan.

Bagi menjayakan filem Atomic Blonde dan The Old Guard, Charlize menjalani latihan intensif selama beberapa bulan bagi menguasai seni mempertahankan diri, teknik pertarungan dan penggunaan senjata.

Kesungguhannya menjalani latihan tanpa memikirkan tentang kecederaan sepanjang penggambaran mengukuhkan kedudukannya sebagai antara aktres genre aksi yang terkenal dalam industri perfileman Hollywood.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN