JOHOR BAHRU: Pindaan Akta Mara 1966 akan dibentangkan di Parlimen pada tahun ini bagi memastikan prosesnya dapat diselesaikan mengikut jadual.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu diminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang menjaga Mara.
“Peringkat ini adalah peringkat dasar dan drafnya kita akan berikan kepada semua pihak berkepentingan, khususnya kementerian lain untuk dinilai dan juga diperhalusi bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka.
“Kemudian, kita angkat sekali lagi ke Mesyuarat Jemaah Menteri bagi maksud untuk kita mendapat kelulusan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Zikir di Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato Onn, di sini hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, Jemaah Menteri sebelum ini sudah meluluskan kertas dasar bagi penggubalan Akta Mara tersebut.
“Langkah ini penting bagi memastikan Akta Mara yang baharu lebih relevan dan mampu memperkukuh peranan agensi berkenaan dalam agenda pembangunan bumiputera.
Akta Mara bakal menggantikan Akta MARA 1966 dengan kira-kira 80 peratus perubahan dalam draf cadangan tertumpu kepada aspek tata kelola dan tadbir urus berasaskan piawaian antarabangsa serta amalan tadbir urus korporat yang baik. – UTUSAN










