2,779 pegawai, anggota penyelamat digerakkan hadapi banjir

2,779 pegawai, anggota pasukan menyelamat digerakkan hadapi banjir

PEGAWAI dan anggota pasukan penyelamat bersiap sedia hadapi banjir di Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Seramai 2,779 pegawai dan anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi di Terengganu sedia digerakkan bagi persediaan menghadapi banjir.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kesemua  246 pegawai dan 2,533 anggota itu juga telah selesai menjalani pelbagai latihan menyelamat di peringkat daerah dan negeri untuk meningkatkan tahap kemahiran mereka.

Menurutnya, selain latihan menyelamat, semua agensi yang terlibat juga telah selesai menyelenggara semua aset yang diperlukan seperti bot, lori, kenderaan pacuan empat roda serta ambulans.

“Ini bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kita berada di tahap tertinggi agar kerja-kerja menyelamat dan memindahkan penduduk terjejas berjalan lancar.

“Kita juga menasihatkan orang ramai terutama di kawasan berisiko agar tidak ingkar arahan pihak berkuasa apabila banjir melanda kerana nyawa lebih penting untuk diselamatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Antara agensi penyelamat yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu berkata, kerajaan negeri juga telah menerima komitmen dari lebih 1,500 orang sukarelawan terdiri daripada Jabatan Amal, Kelab 4X4, Radio Amatur dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk turun padang menghulurkan bantuan dalam misi banjir akan datang.

“Kolaborasi semua pihak antara agensi penyelamat, kerajaan negeri, NGO serta individu persendirian akan diselaraskan agar misi bantuan banjir dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.

Setakat ini, Jabatan Pengairan dan Saliran telah memasang 187 stesen hidrologi pemantauan banjir yang berfungsi sebagai amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya untuk membantu rakyat di kawasan terlibat berpindah dengan kadar segera.

Hanafiah berkata,  kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk persediaan barangan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir

“Antara yang akan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam masa terdekat ialah kit kebersihan peribadi, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat serta makanan kering yang masih lambat tarikh luputnya.

“Dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, saya berharap orang ramai lebih peka dengan sebarang perubahan di sekeliling kawasan rumah mereka dan lakukan persediaan awal memindahkan dokumen penting ke tempat selamat,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 580 PPS telah dikenal pasti di seluruh Terengganu yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir di lapan daerah negeri itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya