Wanita OKU berdikari cari rezeki

Wanita OKU berdikari cari rezeki

SITI Zulaikha Abdul Muin tekun menjahit beg duit syiling di bengkel Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, Marang, Terengganu. – mingguan/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Siti Zulaikha Abdul Muin, 32, membuktikan kekurangan dirinya bukan halangan untuk berdikari mencari rezeki dalam bidang jahitan.

Dia antara tujuh OKU yang menjadi tulang belakang kepada Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad (Kowata) yang menghasilkan pelbagai produk kraftangan berasaskan batik.

Anak sulung daripada lima beradik itu dilahirkan sumbing pada bahagian rahang menyebabkannya terpaksa menjalani beberapa pembedahan kecil untuk membetulkan struktur wajah yang lebih sempurna.

Enggan menjadikannya sebagai satu kekurangan, Siti Zulaikha nekad mempelajari bidang jahitan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kelas itu yang dianjurkan di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Mukim Jerung di daerah ini.

“Setiap bulan, saya mampu hasilkan antara 25 hingga 30 beg ketupat untuk dipasarkan oleh Kowata,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Aktiviti perniagaan utama Kowata ketika ini ialah menghasilkan beg, barangan cenderahati dan kraftangan bermotifkan batik dengan jenama TAPAi yang telah dipasarkan ke seluruh negara.

Tambah Siti Zulaikha, dia sangat terhutang budi dengan guru bimbingan kerana mencurahkan ilmu sepenuh hati untuknya dalam bidang jahitan agar tidak bergantung harap kepada mana-mana pihak.

“Seronoknya di sini kerana ramai kawan senasib bersama-sama mencari rezeki dalam bidang jahitan dan kami berazam mahu mempelajari lebih banyak teknik jahitan untuk mempelbagaikan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Kowata merangkap guru pembimbing jahitan, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, koperasi itu menyasarkan jualan RM120,000 sepanjang tahun ini.

“Kesemua tujuh OKU di sini mempunyai kelebihan dan kemahiran masing-masing.

“Selain wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua OKU ini turut menerima upah lumayan berdasarkan kuantiti jualan produk iaitu minimum RM500 hingga RM1,200 setiap bulan.

“Semoga usaha kecil kami ini dapat membantu OKU untuk meningkatkan taraf sosioekonomi demi masa depan mereka,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN