Wanita mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM2 juta 

Wanita mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM2 juta 

Norida Syakira Agus Hadi (duduk, kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas lima tuduhan terbabit pengubahan wang berjumlah melebihi RM2 juta. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang ahli perniagaan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan terbabit kegiatan pengubahan wang haram melebihi RM2 juta. 

Tertuduh, Norida Syakira Agus Hadi, 28, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya. 

Bagi pertuduhan pertama, antara 16 Mei 2021 dan 10 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis, tertuduh didakwa menggunakan wang RM1,317,658.84 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat tertuduh, DSS Berkat Enterprise bagi tujuan pembelian perniagaan Sushi Go milik Chang Yi Hern.  

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada 8 Januari 2021 dan 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM242,770 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun Islamic Berhad milik Mohamad Hanif Omar. 

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh pada 11 Januari 2021 dan 1 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang RM369,700 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama. 

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh pada 31 Januari 2021 hingga 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM32,500 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik tertuduh. 

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh pada 17 Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah melupuskan wang berjumlah RM80,000 iaitu hasil aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise melalui sekeping cek.  

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah subseksyen 4(1) (b)  Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi. 

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal meminta ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan. 

Bagaimanapun peguam mewakili tertuduh, M. Manoharan meminta wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh bersama suami telah hilang punca pendapatan selain turut memiliki dua anak kecil. 

Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya