SERDANG: Semasa dalam Muafakat Nasional (MN), Barisan Nasional (BN) bersama Pas dikatakan membuat keputusan untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) hari ini berkata, BN dan Pas dalam MN telah membuat keputusan untuk mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
“Saya ingin kongsi sedikit pengalaman Pas dalam pembentukan MN bersama BN pada awalnya. Pada waktu itu, BN bersama Pas dalam MN membuat keputusan mengekalkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.
“Ini bermakna mereka sebenarnya menerima kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kerajaan PN adalah satu-satunya kerajaan yang membela penjawat awam berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sepanjang mengurus Covid-19, pandangan pegawai kerajaan sering diambil kira oleh kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ketika itu di samping menerima dan menghormati idea mereka.
“Boleh tanya dengan jujur sahabat kita yang berada dalam kerajaan, tanyalah mereka kerajaan mana yang paling rapat dan memahami tugasan dan paling menghormati tanggungjawab mereka hingga memaksa mereka membuat perkara yang akhir terpaksa jawab ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN










