fbpx

Tiga pemilik syarikat kemuka dokumen palsu didenda RM50,000

DUA daripada tiga pemilik syarikat yang dituduh, Azlan Abd. Hashim (tengah) dan Wan Helmi Wan Darus (kiri) diiringi Pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI

ALOR SETAR: Tiga pemilik syarikat didenda RM50,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender daripada sebuah syarikat pembersihan di utara tanah air, tiga tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Azlan Abd. Hashim, 48; Nahairizaki Mohd. Zin, 42, serta Wan Helmi Wan Darus, 49, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Hakim turut memerintahkan supaya kesemua tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda ditetapkan itu.

Pertuduhan dijalankan secara berasingan dengan Azlan terlebih dahulu didakwa secara curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu penyata akaun Maybank Islamic syarikat Excell Tech Enterprise bagi Oktober hingga Disember 2018, dalam permohonan tender tersebut.

Nahairizaki yang merupakan tertuduh kedua didakwa dengan curang menggunakan penyata akaun CIMB Bank syarikat Jakie Enterprise dan tertuduh ketiga, Wan Helmi pula didakwa menggunakan penyata akaun RHB Bank milik syarikat WH Awana Sdn. Bhd. bagi tarikh sama dan dalam permohonan tender sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa memiliki sebab untuk mempercayai bahawa dokumen dikemukakan itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Azlan pada 19 Januari 2019, sementara Nahairizaki didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Januari 2019.

Wan Helmi pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Januari 2019 dan ketiga-tiga mereka dituduh berbuat demikian di tempat sama iaitu di Wisma Idaman Sdn. Bhd. di sini.

Tender dipohon ketiga-tiga mereka itu melibatkan penswastaan kutipan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di utara tanah air.

Mengikut fakta kes, syarikat-syarikat terlibat berjaya mendapatkan tender berjumlah antara RM58,000 hingga RM92,000 sebulan berikutan pengemukaan dokumen palsu tersebut.

Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika melakukan proses mitigasi, kesemua tertuduh mendakwa mereka tidak lagi mempunyai pendapatan tetap hingga ada antaranya yang terpaksa menumpang pendapatan isteri.

Hakim bagaimanapun menyifatkan hukuman yang diberi adalah setimpal setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kepentingan awam selain tindakan tertuduh yang mengaku bersalah di peringkat awal perjalanan kes. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!