GEORGE TOWN: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Baru, dekat sini semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sehubungan itu kes tersebut buat masa ini diklasifikasikan dan disiasat sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, ujar beliau, polis tidak menolak membuka semula siasatan sekiranya menemukan apa-apa elemen atau unsur yang memerlukan siasatan lanjut.
Jelasnya, daripada temubual bersama ibu bapa mangsa juga mendapati tiada sebarang masalah atau kejadian luar biasa berlaku sebelum remaja terbabit dijumpai terjatuh di aras satu kondominium terbabit.
“Buat masa ini kita tidak pasti apa yang berlaku terhadap remaja itu atau apa yang bermain di dalam fikirannya sebelum kejadian itu berlaku.
“Malah, ibu bapa mangsa juga keliru dengan kejadian yang menimpa anak mereka dan mangsa sebelum itu juga tidak dimarahi oleh sesiapa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan 15 buah basikal jenis ‘Mountain Bike’ daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Unit Polis Pelancong di ibu pejabat kontinjen polis (IPK), di sini hari ini.
Penyerahan basikal bernilai kira-kira RM30,000 itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin.
Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, ibu bapa mangsa bagaimanapun memaklumkan mangsa seorang yang pendiam dan suka bersendirian.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan mangsa ada meninggalkan nota untuk membunuh diri, namun tidak memberikan apa-apa alasan.
Ditanya sama ada polis turut ke sekolah dan menemu bual guru-guru mangsa bersabit kejadian itu, Mohd. Shuhaily berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan tersebut sekiranya memerlukan siasatan lanjut.
Akhbar semalam melaporkan seorang remaja perempuan ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 11 kondominium di Persiaran Bayan Indah.
Difahamkan, mangsa dijumpai berada dalam keadaan tertiarap di bumbung parkir di kondominium berkenaan oleh ibunya pukul 6.30 pagi sebelum menghubungi polis. – UTUSAN










