Keluar baki Akaun 2 untuk pembedahan tulang belakang anak - Utusan Malaysia

Keluar baki Akaun 2 untuk pembedahan tulang belakang anak

SITI Aisyah Kamarulzaman mendukung Nor Laila Insyirah Muhammad Harith Syahiran yang mengalami masalah kebocoran tulang belakang di Perumahan Taman Seri Intan, Kampung Kayu Kelat, Besut, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengeluarkan baki wang dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM2,000 bagi menampung kos rawatan anak bongsunya yang menghidap penyakit kebocoran tulang belakang akibat spina bifida.

Siti Aisyah Kamarulzaman, 36, mencarum KWSP sejak menjadi guru KAFA pada 2010, namun sebahagian simpanan dalam Akaun 2 telah dikeluarkan demi kelangsungan hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa Covid-19 melanda.

Siti Aisyah berkata, anak perempuan keenamnya, Nor Naila Insyirah Muhammad Harith Syahiran berumur 11 bulan disahkan mengidap penyakit itu sejak usia kandungan 24 minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, ketika Nor Naila Insyirah dilahirkan, terdapat benjolan pada bahagian belakang badan.

“Dalam benjolan itu terdapat cecair yang dikatakan air tulang belakang dan cecair daripada otak yang mengalir ke kawasan yang bocor, selain turut menjejaskan sistem saraf.

“Meskipun keadaan anak saya ini kelihatan aktif tetapi dia mempunyai masalah lain kesan daripada penyakit yang dihadapi antaranya gangguan sistem pembuangan urin dan air besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Perumahan Taman Seri Intan, Kampung Kayu Kelat di sini.

Siti Aisyah berkata, Nor Naila Insyirah memerlukan peralatan khas bagi membuang air ken­cing setiap enam jam.

Katanya, anaknya turut menghadapi gangguan sistem saraf sehingga menjejaskan kedua-dua kaki, yang mana Nor Laila Insyirah tidak mampu berdiri dan hanya meniarap setiap hari.

“Dia memerlukan penjaga­an rapi setiap hari dan dengan keadaan itu tidak ada pengasuh yang mahu memgambil risiko menjaganya. Saya dan suami, Muhammad Harith Syahiran Remi, 27, perlu bergilir-gilir menjaganya,” katanya.

Nor Laila Insyirah dijadual menjalani pembedahan untuk membaik pulih saraf dan menutup kebocoran itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada 25 Mei ini.

Siti Aisyah berkata, mereka memerlukan kira-kira RM4,500 yang dikumpulkan hasil wang simpanan dan bantuan orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini