KOTA KINABALU: Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak melihat keperluan membahaskan isu tuntutan waris Sultan Sulu secara terbuka di Parlimen.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu berkata, pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak tidak akan mendatangkan kebaikan kepada usaha menyelesaikan isu tuntutan itu maka, biarlah pihak berwajib yang bertanggungjawab menangani isu ini.
“Kita di Malaysia bukan sebuah negara yang bodoh sangat. Kita tahu hak kita tapi jangan satu perkara yang saya anggap remeh, kita perbesarkan sehingga ada wakil rakyat terjerit-jerit di Parlimen menyatakan ini perkara mustahak, seolah-olah hal ini paling besar.
“Bagi USNO, bagi saya sendiri, hal itu (tuntutan Sulu) tiada makna langsung. Sesiapa sahaja boleh membuat tuntutan namun, sama ada ia berasas atau tidak, itu soal lain.
“Tuntutan Sulu ini mempunyai konotasi undang-undang maka, biarlah orang yang faham keadaan sebenar sahaja yang menyelesaikannya.
“Apa yang penting, kita sudah merdeka dan bersama-sama dalam Malaysia. Siapa mahu tuntut? kecuali rakyat Sabah bersuara mahu keluar daripada Malaysia untuk bersama-sama Sultan Sulu, itu lain cerita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pandikar Amin berkata, pandangan peribadi seseorang tidak akan mendatangkan kebaikan kerana bukan mereka yang akan berhujah di mahmakah dalam mempertahankan hak dan kedaulatan Sabah dalam Malaysia.
Justeru, pemimpin Semenanjung terutama Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya harus berhati-hati dan tengok denyut nadi rakyat Sabah dan Sarawak.
“Jangan sampai rakyat Sabah bersuara untuk menuntut hak-hak yang sepatutnya menjadi milik negeri ini,” katanya.
Pada 18 Julai, Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis mengenai isu tuntutan waris Sultan Sulu.- UTUSAN










