PUTRAJAYA: Kegagalan waris mengurus harta pusaka sehingga dibekukan dibimbangi membuka ruang kepada kegiatan penyelewengan harta pusaka oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan.
Mendedahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Akmal Hidayah Halim berkata, kes penjualan harta pusaka tanpa persetujuan waris-waris boleh berlaku apabila tanah-tanah pusaka tersebut tidak dituntut selepas sekian lama.
Menurut beliau, keadaan itu berlaku akibat hartanah tersebut tidak dibuat pentadbiran pusaka atau waris sendiri tidak tahu apa-apa berkaitan hartanah si mati selain wujudnya penglibatan waris tertentu yang mahu membolot harta itu seorang diri.
Apatah lagi katanya, tidak ada sebuah jabatan khusus yang menguruskan harta pusaka di negara ini yang menyukarkan waris merujuk maklumat harta si mati dan memulakan proses pentadbiran pusaka di bawah satu bumbung yang pada masa ini dikendalikan pelbagai agensi.
“Apabila geran tanah dipegang oleh seorang waris, dia boleh bertindak menjual secara ‘atas angin’ kepada pihak lain tanpa persetujuan waris lain. Pembeli pula percaya kepada pihak yang menjual yang berjanji untuk menukar nama kemudian sedangkan ia tidak berlaku kerana ia adalah tanah pusaka.

“Ini kesan harta pusaka tidak ditadbir akibat tidak ada kesedaran dalam kalangan waris. Jadi dengan adanya sebuah jabatan khusus diyakini sangat membantu untuk menyelesaikan hartanah beku dan kes penyelewengan hartanah pusaka,” katanya di sini semalam.
Akmal Hidayah berkata, nilai sebenar harta beku yang dianggarkan lebih RM70 billion tidak dapat ditentukan dengan jelas kerana pada masa ini tidak ada kajian khusus menyokong jumlah itu.
Namun, katanya, dipercayai ia melebihi amaun berkenaan sekiranya diukur nilai hartanah di Kampung Baru sahaja yang sekarang ini mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi.
Beliau berkata, masalah pemilikan tanah tidak boleh dikenal pasti selagi tidak dibuat proses-proses permohonan pentadbiran pusaka yang sangat sukar kerana perlu berurusan dengan pelbagai agensi, selain karenah birokrasi yang mungkin berlaku.
Disebabkan masalah itu, ada dalam kalangan waris terus ‘menduduki’ tanah itu tanpa membuat tuntutan pusaka hanya dengan membayar cukai tanah setiap tahun apatah lagi jika tanah berkenaan berstatus pegangan bebas.
Keadaan itu secara jelas menyalahi hukum agama kerana harta tidak dibahagi secara faraid dan hanya waris tertentu memakan harta secara batil.
“Harta beku ini kita perlu cari mekanisme bagaimana nak selesaikan. Kedua, macam mana nak halang tanah-tanah pusaka akan datang daripada jadi harta beku.
“Masalah ketiga ialah waris tak tahu ke mana hendak dituju menyebabkan harta terbeku kerana waris tidak ada maklumat harta si mati, jadi tidak boleh teruskan bicara pusaka. Masing-masing putus asa untuk menyelesaikannnya,” katanya.
Justeru, Akmal Hidayah berkata, penubuhan sebuah jabatan khusus iaitu Jabatan Pengurusan Pusaka perlu dilaksanakan kerajaan yang boleh berfungsi sama seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mana jika berlaku kematian, waris boleh merujuk di situ untuk urusan harta pusaka.
Kata beliau, perkara itu pernah dicadangkan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) melalui kajian pembaharuan undang-undang pada 2016 bagi menaik taraf Bahagian Pembahagian Pusaka untuk menjadi sebuah jabatan sekali gus dapat mengawal selia harta pusaka beku atau menghalang harta sebelum menjadi terbeku.
“Apabila berlaku kematian, tidak ada pemantauan di bawah satu sistem yang boleh ‘memaksa’ waris membuat permohonan pusaka. Jadi dengan adanya jabatan ini, ia boleh menghubungkan terus dengan data di JPN.
“JPN akan memberi notifikasi kepada jabatan ini yang seterusnya akan memberi peringatan kepada waris-waris untuk hadir ke jabatan dan memulakan proses urusan harta pusaka.
“Jika tidak ada permohonan waris selepas enam bulan tarikh kematian, Amanah Raya Berhad (ARB) boleh mengambil alih pengurusan harta pusaka itu sepertimana yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif mendakwa, ada ‘orang dalam’ yang arif dalam undang-undang terlibat dalam urusan pindah milik tanah pusaka kepada penama lain.
Katanya, tindakan itu dibuat seolah-olah menepati undang-undang pusaka sehingga tidak diketahui waris penama asal.
“Seperti satu kes di sebuah negeri di pantai timur, waris terkejut apabila tanah pusaka milik bapa mereka dipindah milik kepada sepupu mereka tanpa diketahui sedangkan proses dilakukan itu mengikut saluran sah.
“Tanah itu sebenarnya ada dua penama iaitu bapa mereka dan seorang lagi pak cik, tetapi tiba-tiba nama bapa mereka ditukar kepada nama sepupu ketika melakukan proses pentadbiran harta pusaka,” katanya. – UTUSAN










