Syarikat bina LCS ‘habis duit’, terpaksa henti pelaksanaan

Syarikat bina LCS ‘habis duit’, terpaksa henti pelaksanaan

lcs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pemberhentian projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disebabkan syarikat bertanggungjawab, Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sudah ‘kehabisan duit’ untuk melaksanakannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pemberhentian projek LCS bukan disebabkan arahan pemberhentian kerja oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Katanya, projek itu terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.

“Dalam prosiding PAC, pengurusan BNS sendiri mengakui syarikat itu menghadapi masalah kewangan serius sehingga terpaksa mengurangkan gaji kakitangannya,” katanya pada program ‘Diskusi Rakyat: LCS – Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi’ di Seri Manjung, dekat sini hari ini.


WONG Kah Woh (dua dari kanan) dan Dr. Mohd. Hatta Ramli (dua dari kiri) pada program Diskusi Rakyat: LCS – Pertahanan Negara Yang Dieksploitasi di Seri Manjung, Lumut, Perak, malam tadi. – UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

Selain Kah Woh, anggota panel lain program itu ialah Ahli Parlimen Lumut yang juga Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Pengerusi Pertubuhan Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan Malaysia, Amidi Abd. Manan.

Ketika ini, isu LCS menjadi medan pertelagahan politik apabila pemimpin daripada kalangan BN, PH dan PN saling salah menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca projek itu tidak dapat disiapkan walaupun sepatutnya kapal pertama LCS diserahkan pada 2019.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kah Woh berkata, Ketua Pegawai Eksekutif BNS yang baharu, Azhar Jumaat ketika prosiding bersama PAC mengakui terdapat salah urus kewangan yang serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, dapatan PAC mendapati, wujud perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 bilion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan ‘overrun cost’ atau kos di luar jangka berjumlah RM700 juta.

“Begitu juga dengan kerugian dialami oBNS akibat membayar harga mahal sehingga empat kali ganda menerusi ‘letter of award’ bernilai RM3.3 bilion kepada syarikat sub-kontraktor, Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn. Bhd.(CED).

“Bagi pihak PAC, kita berpendapat memang berlaku salah laku amat serius khasnya daripada aspek kewangan, sebab itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan dan pendakwaan mereka,” ujarnya.

Ketika ini, BNS mempunyai hutang bernilai kira-kira RM1.7 bilion terhadap pembekal produk asal (OEM) dan institusi kewangan dan jika isu itu berlarutan, ia boleh menjejaskan dana pencen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bernilai kira-kira RM2 bilion.

Mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah agar PAC tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan politik, Kah Woh sekali lagi menegaskan, jawatan kuasa itu terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang dengan laporan dikeluarkan berdasarkan persetujuan sebulat suara secara profesional, adil dan tiada unsur politik.

Jelas beliau, menjadi tanggungjawab PAC mengeluar dan menerbitkan laporan yang memaparkan situasi sebenar keadaan perbelanjaan negara dan percaya rakyat boleh menilai laporan itu bukan sahaja isu LCS tetapi isu lain, dengan mana-mana isu jika kerajaan atau agensi kerajaan mencapai prestasi yang baik seperti Khazanah Nasional sebelum ini, PAC memberi laporan amat positif kepada syarikat itu.

NAJIB TUN RAZAK

Terdahulu, dalam sesi dialog, Kah Woh menyatakan kehairanannya dengan sikap Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat cuba memperlekeh PAC dan laporan yang dikeluarkannya mengenai isu LCS sedangkan nama bekas Perdana Menteri itu tidak disebut dalam laporan tersebut.

Malah, jelasnya, Najib dalam Facebook rasminya memberi reaksi politik yang amat besar terhadap laporan PAC itu dengan mengaitkannya sebagai ia dipengerusikan oleh DAP dan memberi banyak fakta yang diputar belit dan bertentangan dengan laporan tersebut yang dibuat melalui prosiding rasmi termasuk memanggil 21 saksi memberi keterangan.

“Saya tidak mahu menjawab isu LCS yang dipolitikkan beliau tetapi hanya membaca dan membentangkan apa yang terdapat dalam laporan tersebut, sebab saya kena hormati pendirian ahli PAC lain.

“Apa yang jelas, Najib seolah-olah langsung tidak membaca laporan tiga jilid PAC itu dari muka surat ke muka surat tetapi cuba pusing sana, pusing sini (dengan fakta yang salah),” jelasnya sambil membetulkan kenyataan Najib mengatakannya sebagai Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) sedangkan beliau sudah empat tahun melepaskan jawatan itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya