MASSACHUSETTS: Sebuah syarikat makanan laut di Cape Cod, timur laut Amerika Syarikat (AS) menyumbangkan seekor udang kara dua warna yang jarang ditemukan kepada pusat sains, sekali gus menyelamatkannya daripada menjadi hidangan kerana warnanya yang luar biasa.
Udang kara berkenaan mempunyai warna coklat biasa pada sebelah tubuh dan jingga terang di sebelah yang lain, dengan corak dua tona memanjang dari kepala hingga ke ekor.
Keunikan menarik perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai persoalan daripada orang awam sejak beberapa hari lalu.
Wakil Syarikat Kerang Wellfleet di Eastham, Massachusetts berkata, udang kara tersebut dihadiahkan kepada Akuarium Sains Woods Hole di Falmouth, dan akan dipamerkan kepada orang awam apabila akuarium itu dibuka semula.
“Udang kara itu kini ditempatkan bersama haiwan lain milik Akuarium Sains Woods Hole di tangki simpanan Makmal Biologi Marin sepanjang tempoh pembinaan semula akuarium.
“Apabila akuarium dibuka semula, ia akan dipamerkan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung melihat lebih dekat salah satu anomali semula jadi paling menakjubkan di lautan,” menurut kenyataan syarikat itu.
Nelayan menangkap udang kara itu di perairan Cape Cod pada 16 April.
Udang kara dengan warna luar biasa sering ditemukan di jeti-jeti New England sepanjang musim bunga dan musim panas, namun spesimen dua warna sangat jarang dijumpai.
Udang kara Amerika biasanya berwarna coklat bertompok, tetapi ia boleh mengalami kelainan warna akibat mutasi gen yang mempengaruhi protein mengikat pigmennya.
Ada yang berwarna biru atau jingga, ada yang bertompok seperti calico, manakala ada juga berwarna terlalu terang sehingga digelar sebagai udang kara ‘gula-gula kapas’.- AGENSI










